545 pelajar terima manfaat biasiswa MAIPk

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan dana zakat berjumlah RM545,000 khusus untuk Bantuan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal Tahun 2023 melibatkan 545 pelajar di seluruh negeri ini.

MAIPk dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyampaian biasiswa itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk Rohizan Omar dalam program Seminar Motivasi Pecutan Akhir SPM 2023 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Menurut MAIPk, penyampaian penerima biasiswa baharu kepada pelajar tingkatan empat dan lima untuk tahun ini melibatkan 305 pelajar yang hadir pada seminar berkenaan.

“Setiap pelajar menerima RM1,000 yang disalurkan kepada akaun pelajar melalui pemantauan sekolah dan pelajar boleh memanfaatkan bantuan untuk persediaan dan membeli keperluan pembelajaran seperti buku rujukan, peralatan tulis dan lain-lain,” demikian menurut kenyataan itu.

Penerima bantuan biasiswa terdiri daripada pelajar asnaf fakir dan miskin yang berpotensi cemerlang dalam pelajaran.

MAIPk memaklumkan mereka berharap usaha menyediakan biasiswa itu dapat membantu dan memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan sempurna.

“Menjadi tanggungjawab MAIPk untuk membantu anak-anak asnaf meningkatkan taraf hidup mereka dan semoga mereka peroleh kejayaan untuk keluarga mereka suatu hari nanti,” menurut kenyataan itu.

Selain bantuan berbentuk kewangan, MAIPk memaklumkan pelajar disediakan bantuan dalam bentuk program kecemerlangan bagi memastikan emosi dan rohani mereka bersedia untuk fokus kepada pembelajaran.

Justeru, seminar motivasi yang dianjurkan itu turut melibatkan ibu bapa serta pelajar dan ceramah telah disampaikan pakar motivasi Ahmad Iqmal Jamil daripada Transform Motivation and Training.

— BERNAMA

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI