Perak pertimbang beri bayaran khas insentif pentadbiran tanah

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang mempertimbangkan pemberian bayaran khas insentif pentadbiran tanah kepada warga kerja pentadbiran tanah di negeri ini di atas prestasi cemerlang mereka kepada pembangunan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan di atas komitmen berterusan dan pengorbanan mereka selama ini.

Menurut beliau, bagaimanapun setakat ini nilai insentif itu masih belum ditentukan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua Pentadbir Tanah dan warga kerja di pentadbiran tanah yang bijaksana dan berani dalam melakukan anjakan paradigma sehingga berjaya membantu kerajaan negeri merekodkan kutipan hasil mencecah RM1.21 bilion pada tahun lalu, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri.

“Bagaimanapun, berapa nilai (insentif) terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan Pegawai Kewangan Negeri serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

“Semoga sedikit buah tangan ini dapat membakar semangat semua untuk terus berkhidmat dengan ikhlas dan jujur; cekap dan cekal; serta berhemah dan berintegriti tinggi ke arah mewujudkan pentadbiran tanah yang cemerlang,” katanya.

Perak pertimbang beri bayaran khas insentif pentadbiran tanah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Malam Apresiasi Pentadbiran Tanah Negeri Perak anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Galasa Caldwell, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 MAC 2024.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis Malam Apresiasi Pentadbiran Tanah Negeri Perak “Aspiring To Excellence” di Galasa Caldwell, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), Halizah Sipun dan Pengarah PTG Perak, Datuk Fariz Mohamad Hanip

Dalam memastikan setiap urusan yang dilaksanakan berjalan lancar, Saarani meminta supaya sistem penyampaian perlu lebih cekap, tepat dan cepat, tidak sekadar tercatat di atas kertas.

Perak pertimbang beri bayaran khas insentif pentadbiran tanah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada Malam Apresiasi Pentadbiran Tanah Negeri Perak anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Galasa Caldwell, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 MAC 2024.

Tambahnya, karenah birokrasi perlu dihapuskan, malah sistem penyampaian yang cepat dan pantas akan membantu jabatan menghindari perlakuan tidak berintegriti yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan, malah boleh melemahkan daya saing.

“Banyak usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan bagi melicinkan urusan di pentadbiran tanah.

“Antaranya adalah penurunan dan perwakilan kuasa; penambahbaikan perkhidmatan kaunter; meningkatkan dan memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat (ICT) serta
pelaksanaan pengukuran prestasi berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI).

“Usaha-usaha itu adalah bagi memperkukuhkan serta meningkatkan tahap kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan negeri sejajar dengan kehendak dan harapan pelanggan dan pemegang taruh,” jelasnya.

Perak pertimbang beri bayaran khas insentif pentadbiran tanah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) pada gimik perasmian buku di Malam Apresiasi Pentadbiran Tanah Negeri Perak anjuran Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Galasa Caldwell, Ipoh, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 MAC 2024.

Dalam majlis itu, Saarani turut melancarkan Buku Tatacara Pengurusan Tanah Negeri Perak yang bertujuan mempermudah proses urusan tanah dan diharapkan menjadi rujukan penting bagi warga pentadbiran tanah.

Buku itu dilengkapi dengan kod QR untuk akses mudah kepada pekeliling dan surat arahan berkaitan bagi setiap urusan.

Beliau juga menyampaikan beberapa anugerah kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lalu.

Anugerah tersebut adalah Anugerah Pendaftaran Efisien (PDT Kerian); Anugerah Tadbir Urus Tanah Terbaik (PDT Larut Matang); Anugerah Perkasa (PDT Muallim); Anugerah Hasil Luar Biasa (PDT Kecil Ipoh) dan Anugerah PDT Unggul (PDT Muallim). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak rekod surplus tertinggi dalam sejarah RM62.4 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI