IPOH –Sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat surat layang yang mendakwa seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini melakukan gangguan seksual dan ugutan ke atas kakitangan hospital berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada 29 Februari lalu sehari selepas HRPB menerima surat layang itu melalui pos.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM.
“Siasatan sedang dijalankan dengan pengumpulan bukti. KKM memandang tuduhan ini sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial surat layang dituju kepada Pengarah HRPB, Datuk Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid yang mendakwa seorang doktor dari sebuah jabatan di hospital tersebut melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih (houseman) dan kakitangan sokongan wanita.
Kandungan surat itu turut meluahkan rasa kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap doktor terbabit walaupun aduan telah dibuat.
Selain itu, surat layang itu turut mendedahkan cara doktor terbabit melakukan gangguan seksual dan kesalahan lain yang berkaitan dengan cara kerja.
Beberapa nama individu turut didedahkan dipercayai kakitangan hospital sama yang didakwa melindungi perbuatan jijik doktor tersebut.
Pada masa sama, menerusi surat layang itu, penghantar memohon supaya siasatan dilakukan secara telus dan doktor tersebut ditukarkan ke hospital di negeri lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Guru cabul pelajar ditahan, bapa mangsa peras ugut turut ditahan
[…] Doktor laku gangguan seksual: JKN Perak tubuh Jawatankuasa Penyiasatan Bebas […]