KUALA LUMUR – Jemaah yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong perlu membuat aduan atau laporan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“TH akan berkerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada para jemaah haji yang tekandas akibat terperdaya dengan tawaran pakej haji.
“Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci untuk akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persedian musim haji.
“Peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah haji ketika musim Haji,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang berada di Makkah, kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji bagi mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.
Bakal haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.
Susulan laporan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataannya telah mengarahkan TH untuk menyiasat kejadian itu.
Bagaimanapun, setakat ini, TH masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden itu dan sedang giat mendapatkan maklumat mengenainya.
Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan, jemaah umrah asing dikehendaki meninggalkan Arab Saudi selewat-lewatnya 29 Zulkaedah atau 7 Jun ini.
Arahan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji ke kota suci Makkah dan Madinah bagi musim 1445 Hijriah. – MalaysiaGazette