GOPENG – Seorang lelaki maut selepas tertusuk besi penghadang jalan manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 295.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Simpang Pulai, di sini pada Selasa.
Mangsa maut dikenali, Mohd Iqhbal Afiq Abd Ghafar, 37, yang menaiki kereta jenis Perodua Axia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.29 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dibantu BBP Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.
“Kemalangan melibatkan kereta Perodua Axia yang dinaiki seorang lelaki, seorang wanita serta tiga kanak-kanak perempuan dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki seorang lelaki.
“Mangsa lelaki dalam kereta Perodua Axia lelaki didapati telah tertusuk besi penghadang jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak pegawai perubatan manakala lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi ditemukan selamat.
“Seorang wanita dan tiga kanak-kanak perempuan yang berada dalam kereta Perodua Axia turut mengalami kecederaan.
“Anggota bertindak melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 5.25 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.46 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita warga emas maut ditetak, jiran ditahan bantu siasatan


