10,997 kasut, stokin, selipar tiruan jenama terkenal dirampas

IPOH – Walaupun pernah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak empat tahun lalu, sebuah syarikat masih berdegil meneruskan aktiviti menjual pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal di sebuah premis dan stor di Desa Rishah Indah di sini.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai KPDN Perak bertindak melakukan serbuan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung penjualan pelbagai kasut, selipar dan stokin berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis dan stor tersebut.

Menurutnya, hasil maklumat siasatan mendapati kesemua kasut ini diperolehi dari luar negara dan kesemua stok ini adalah bagi tujuan penjualan borong serta melalui platform e-dagang.

10,997 kasut, stokin, selipar tiruan jenama terkenal dirampas
Sebanyak 10,997 pasang kasut, selipar dan stokin tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM135,500 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah stor dan premis di Desa Rishah Indah, Ipoh.
Foto ABDULLAH YUSOF

“Dalam serbuan sekitar jam 11.45 pagi itu kita turut mengambil keterangan pekerja di premis berkenaan serta menahan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab sebagai pengurus syarikat yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di premis dan stor tersebut, kita menyita 10,997 pasang kasut, selipar dan stokin tiruan yang berjenama dianggarkan bernilai RM135,500,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, wakil pemilik cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar.

“Sehubungan itu, premis tersebut dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak serbu premis bekal telefon bimbit tiruan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI