IPOH – Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini rata-rata memberi reaksi bercampur baur dalam kalangan rakyat di sekitar negeri Perak.
Antara yang menarik perhatian rakyat adalah kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang meningkat dari RM3,100 kepada RM3,700 bermula tahun depan.
Ibu Tunggal, Rosnazihah Zahari, 35, berkata kenaikan STR sedikit sebanyak membantu meringankan beban untuk menanggung dua anaknya yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, kenaikan ini secara tidak langsung membantu golongan ibu tunggal seperti saya untuk menggunakan wang tersebut bagi perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.
Suri rumah, Fadzlina Abu Bakar Sidek, 39, pula berharap peniaga tidak menaikkan harga telur dan ayam sesuka hati selepas kerajaan mengumumkan kawalan harga sementara bagi kedua-dua barangan asas itu yang ditetapkan sebelum ini akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi dengan bebas.
“Saya khuatir sekiranya berlaku, ia akan meningkatkan perbelanjaan bulanan selain sudah tentu peniaga makanan menaikkan lagi harga makanan yang dijual.
“Justeru, saya berharap kerajaan dapat memberi satu kaedah supaya harga telur dan ayam tidak melambung begitu tinggi sekali gus memberi win-win situation antara pengguna dan peniaga,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha restoran, Ahamed Azlanshah Saiful Jaafar Sadik, 32, berpendapat belanjawan kali ini menepati tema kerajaan iaitu reformasi ekonomi dan memperkasakan rakyat.
“Kami sebagai pengusaha restoran memang terkesan dengan kenaikan harga beras baru-baru ini.
“Bagaimanapun, selepas melihat apa yang disampaikan PM hari ini dengan menyediakan RM2.6 billion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawat, kami harap harga beras dapat kembali seperti biasa secepat mungkin.
“Semoga, pengusaha restoran seperti kami tidak lagi menampung kerugian hasil kenaikan ini pada masa akan datang,” ujarnya. – MG Perak