Dera anak angkat sampai mati: Jiran dakwa sering dengar tangisan kanak-kanak

IPOH – Jiran kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera kepada ibu bapa angkat sehingga maut di Taman Malkop Silibin, dekat sini, mendakwa sering mendengar tangisan kanak-kanak malang itu.

Mohd Zezeli Abdul Latif, 58, berkata, malah isterinya kerap mendengar suara seorang lelaki dengan nada tinggi ketika dia berada di halaman rumah.

Bagaimanapun, dia yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa memberitahu, dia tidak pernah melihat kanak-kanak itu dan hanya menyedari kehadirannya sejak dua bulan lalu.

“Isteri beritahu ada dengar suara budak menangis dan dia mengesyaki mungkin kanak-kanak perempuan itu dimarahi bapanya ketika belajar.

“Selain itu, pernah juga terdengar suara lelaki itu menjerit dan meminta anaknya mencari barang. Mungkin dia marah sebab ada barang yang hilang di rumah,” katanya.

Mohd Zezeli berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Taman Malkop Silibin, dekat sini, pada Selasa.

Pada masa sama, dia memberitahu bapa angkat mangsa yang tinggal lama di taman perumahan berkenaan disifatkan sebagai tidak ramah dengan jiran tetangga.

Katanya lagi, dia hanya menyedari kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu selepas melihat kehadiran kereta peronda polis di hadapan rumah jirannya itu.

“Saya tidak pernah lihat kanak-kanak itu namun, hanya dengar suaranya sahaja. Malah, keadaan rumah mereka memang bertutup.

“Setahu saya, lelaki itu tinggal bersama isterinya sahaja sebelum kanak-kanak itu muncul dalam tempoh dua bulan ini.

“Kejadian ini (kematian kanak-kanak) memang mengejutkan, tidak sangka kanak-kanak itu jadi mangsa sebab haiwan pun sayangkan anak, inikan kita manusia,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi jiran, N. gandhi, 74, memberitahu bapa angkat kanak-kanak itu pernah menetap di sebuah kuarters di Silibin sebelum berpindah ke taman perumahan itu selepas bersara.

“Kanak-kanak itu pernah menyapa saya dan dia memang seorang budak yang ceria dan comel. Cuma, saya tidak pernah lihat dia bermain di luar atau halaman rumah,” jelasnya lagi.

Terdahulu, lelaki berusia 66 tahun dan isteri, 27, itu ditahan reman enam hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan kematian anak angkat mereka yang ditemukan dengan kesan lebam di badan.

Selain itu, hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak perempuan itu juga mendapati terdapat luka koyak dan lebam pada peranakan luar dan dubur mangsa. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Dera anak angkat sampai mati: Suami isteri direman enam hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI