Tak puas hati pembahagian harta, lelaki ugut ibu, ayah

GERIK – “Mak sokong apa aku buat. Abah sokong apa aku buat”.

Itu ungkapan seorang lelaki yang bertindak melanggar dua unit tiang lampu solar di rumah kakaknya di Kampung Jagor, di sini, akibat tidak berpuas hati dengan pembahagian harta milik ayahnya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 3.21 pagi tadi.

Menurutnya, suspek berusia 38 tahun itu memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero membawa ibu serta ayahnya masing-masing berusia 60-an dan 70-an dalam keadaan tergesa-gesa ke rumah kakaknya sehingga melanggar lampu solar tersebut.

“Hasil siasatan mendapati apabila sampai di rumah kakaknya, suspek bersama ibu dan ayahnya telah turun daripada kenderaan tersebut sambil menepuk belakang ibu dan ayahnya dengan berkata, “Mak sokong apa aku buat. Abah sokong apa aku buat”.

“Suspek melakukan perbuatan tersebut akibat tidak berpuas hati berhubung pembahagian harta milik ayahnya. Akibatnya suspek telah merosakkan dua tiang lampu solar di hadapan rumah kakaknya.

“Selepas kejadian itu, suspek bersama ibu dan ayahnya pulang ke rumah di Kampung Padang serta bertindak memecahkan peralatan rumah sehingga menyebabkan ketakutan kepada ibu dan ayahnya.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, susulan maklumat tersebut, pihak polis tiba di lokasi kejadian pada jam 3.30 pagi dan menahan suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suami ugut bakar, cederakan isteri guna cecair lilin ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI