TAIPING – Tujuh keluarga kehilangan tempat tinggal selepas sembilan buah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 3, Kampung Baru Kamunting di sini, petang Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.50 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Menurutnya, daripada sembilan buah rumah tersebut hanya tujuh daripadanya berpenghuni manakala sebuah rumah tidak berpenghuni.
“Ketika tiba di lokasi kita mendapati kebakaran melibatkan lapan buah rumah kelas B yang diperbuat daripada batu dan kayu dengan anggaran kebakaran 95 peratus serta sebuah rumah kelas A yang hanya terbakar tiga peratus.
“Jumlah keseluruhan melibatkan sembilan buah rumah dengan anggaran keluasan keseluruhan 145 x 80 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, anggota dan pegawai bomba bertugas telah membuat ‘size up’ dan bertindak menjalankan kerja-kerja pengawalan api dan pemadaman.
“Selain itu, kita turut mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) bagi memastikan tiada mangsa yang terlibat.
“Seramai 22 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dibantu BBP Taiping, BBP Bagan Serai dan BBP Batu Kurau terlibat dalam operasi tersebut,” jelasnya.
Ujar beliau, tiada kecederaan dilaporkan dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 6.57 petang.
Tambahnya, tujuh keluarga melibatkan 26 mangsa yang kediaman mereka musnah dalam kejadian tersebut ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Jana Sambungan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: