IPOH – Kontinjen Perak berjaya mengukuhkan kedudukan dengan meraih 23 pingat termasuk enam emas di kedudukan kelapan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, setakat ini pada Isnin
Atlet menembak, Nazirul Iqbal Roszaini menyumbangkan emas buat kontinjen negeri menerusi acara 10 meter (m) air rifle lelaki di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.
Lebih manis apabila atlet berusia 18 tahun yang mengumpul 245.9 mata itu berjaya memperbaharui rekod kejohanan 242.5 mata oleh atlet Selangor, Haritz Iklil Hessly Hafiz pada temasya sukan edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Pingat perak menjadi milik atlet Sarawak, Rizki Razain Mohammad Isti Syahran yang mengumpul 240.2 mata, manakala wakil Pahang, Muhd Iman Syahmi Mohd Azidi membawa pulang gangsa dengan 218.6 mata.
Selain menembak, setakat ini Kontinjen Perak berjaya memungut emas menerusi acara bola tampar pantai dengan satu emas, angkat berat (dua), serta pencak silat (dua).
Pada masa sama, skuad Belang Tarung Tiga Warna juga cemerlang dalam menambah jumlah pungutan pingat enam perak dan 11 gangsa setakat ini.
Setakat Isnin, pingat perak disumbangkan Puteri Qaira Qistina Hairol Supfian menerusi sukan memanah; Carmila Nadhirah Mohd Noor (petanque individu); serta VN Keshavatharshini Naidu, Nor Alya Aqila Mahathir, dan Nurul Ain Murda (menembak 10m air rifle berpasukan).
Selain itu, gangsa pula disumbangkan atlet olahraga, Muhammad Farooq Muhammad Zubair Kanan dalam acara 10,000 meter; Abdul Hanan Abdul Basir (memanah); Nor Alya Aqila (menembak 10 meter air rifle Individu); serta Nazirul Iqbal, V Hiranraaj dan Muhammad Nu’aim Hussaini Mhd Zuki (menembak 10 meter air rifle berpasukan).

Kejayaan Perak menambah gangsa turut diraih oleh atlet menembak, Firas Darwish Shahrulnizam, Naderahj Ng Tuck Seng dan Qabil Huzair Mohd Noranizam bagi acara 50 meter pistol berpasukan.
Sukan catur turut menyumbang gangsa oleh atlet Farihah Nor Aisyah Mohd Azman, Sue Anne Tan, Ibroh Nawwarah Mohd Faris serta Maarya Aimy Mohd Fadly menerusi acara rapid berpasukan.
Di samping itu, aksi perlawanan yang diwakili kontinjen negeri turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah serta, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ketua Kontinjen Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SUKMA Selangor: Perak mahu bawa pulang keseluruhan 160 pingat


