KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), mendakwa kenaikan harga barang terkawal selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, pemantauan tindakan proaktif dilakukan sejak penyasaran dilakukan.
“Kita dapati pada hari pertama ada pihak yang mengambil kesempatan. Tapi selepas kita mengeluarkan notis, panggil mereka, minta mereka jawab kenapa harga naik sebab kita sudah ada data awal (harga barang), kita dapati data terkini keadaan agak terkawal.
“Yang nak ambil kesempatan itu mungkin berfikir banyak kali,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah dan tindakan diambil kerajaan agar harga barang tidak melambung akibat penyasaran subsidi diesel.
Menurut beliau, sehingga kini KPDN mengeluarkan 210 notis bertulis dan membuka tujuh kes siasatan pada hari pertama penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun lalu.
Mengulas lanjut Fuziah berkata, sebelum penyasaran subsidi diesel itu bermula, KPDN telah memulakan pra Ops Kesan untuk mengutip maklumat atau data mengenai harga barang.
“Kita telah mengutip kira-kira 1,772 unit simpanan stok (SKU) harga barang sebelum penyasaran subsidi itu bermula supaya kita boleh membandingkan apabila berlaku penyasaran subsidi,” tambahnya.
Fuziah berkata, KPDN juga telah memeriksa kira-kira 2,790 premis semenjak penyasaran subsidi diumumkan baru-baru ini.
Dalam pada itu Fuziah berkata, setakat ini KPDN tidak melakukan penyasaran subsidi untuk sektor-sektor yang tertentu.
“Pada ketika ini belum ada penyasaran subsidi kepada sektor pembinaan. Namun, libat urus sentiasa berterusan dan boleh pergi ke kementerian berkaitan.
“Kalau petani pergi ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pembinaan pergi ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sebagainya supaya libat urus itu dapat diteruskan serta jawatan kuasa rayuan boleh meneliti keadaan tersebut,” jelasnya menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai sektor bahan binaan yang terkesan disebabkan kenaikan harga diesel. – MalaysiaGazette