IPOH – Seorang wanita cedera selepas tergelincir lalu terjatuh gaung sedalam 10 meter (m) sewaktu menuruni puncak Gunung Korbu di jalur pendakian melalui Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, petang tadi.
Mangsa, wanita berusia 35 tahun itu adalah antara 35 peserta yang mengikuti trip pendakian yang diiringi lima orang Malim Gunung Perhutanan Negeri Perak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 3.29 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bergerak ke lokasi dan tiba di tapak mula pendakian (base) kira-kira 10 minit kemudian.
“Kita dimaklumkan kemalangan itu melibatkan seorang wanita seberat 90 kilogram yang menyertai aktiviti mendaki telah tergelincir dan jatuh ke dalam gaung dengan anggaran kedalaman 10 m ketika mangsa menuruni puncak Gunung Korbu.
“Mangsa dipercayai terjatuh semasa melintas dengan memeluk balak yang tumbang di tebing sungai.
“Seorang doktor yang mengikuti ekspedisi pendakian daripada kumpulan lain mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan patah dan berada dalam keadaan terkejut namun kecederaan dalaman masih tidak dapat disahkan
“Mangsa yang pada awalnya mengadu sesak nafas bagaimanapun beransur normal.
“Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan diketuai oleh Ketua BBP Tambun, Mohd Jamalludin Mat Yusop bersama 12 orang anggota dan dibantu oleh Malim Gunung Perhutanan Negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat untuk membawa keluar mangsa dari kawasan tersebut.
“Jarak masa pendakian ke lokasi mangsa dipercayai jatuh dianggarkan kira-kira enam jam dan tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi membawa turun mangsa menggunakan teknik usungan.
“Anggota penyelamat yang membawa peralatan menyelamat termasuk pengusung perlu mendaki melalui lereng bukit dalam cuaca gelap serta jalan licin akibat hujan, selain menempuh anak sungai sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh,” jelasnya.
Sabarodzi berkata, sehingga jam 8 malam operasi SAR masih diteruskan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: