TH diiktiraf terbaik dunia dalam pengurusan jemaah haji

MAKKAH – Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) buat kali kedua berturut-turut menerima Anugerah Labbaitom – Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pengiktirafan tertinggi dunia itu bagi kategori Perkhidmatan Jemaah Haji Terbaik Dunia.

Kemenangan kategori tersebut adalah kali kedua selepas tahun lalu dan kali kelima bagi Anugerah Labbaitom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Hasan menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M lewat malam tadi.

Selain Malaysia, Iraq dan Republik Ethiopia turut memenangi anugerah tersebut.

Manakala Malaysia Airlines pula dianugerahkan sebagai Pusat Pengangkutan Terbaik bagi Pengurusan 150 Perjalanan.

Zulkifli yang ditemui selepas majlis mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad; Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun dan semua petugas haji yang bekerja keras memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, anugerah berprestij yang diterima itu jelas membuktikan keupayaan negara dalam menyediakan perkhidmatan haji bertaraf dunia.

Jelas beliau, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu ialah kesediaan TH mengintegrasikan teknologi moden dalam operasi haji, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada jemaah.

Katanya, TH telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti Haji Lestari (Green Hajj), kempen kebersihan serta aplikasi e-Taib yang membolehkan jemaah mendapatkan maklumat dan jawapan berkaitan ibadah secara masa nyata menerusi teknologi AI.

“Alhamdulillah, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan TH, semua warga kerja TH, petugas kesihatan dan kebajikan yang telah memberikan seluruh jiwa mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik jemaah haji kita sehingga diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Ini menunjukkan ekosistem pengurusan Tabung Haji sangat menyeluruh dan terbaik di dunia. Tahniah kepada Tabung Haji, semua pendeposit, seluruh rakyat Malaysia. Kita berbangga dengan pengurusan TH,” katanya ketika ditemui media bagi mengulas kejayaan TH menerima anugerah tertinggi Diamond Award dalam Anugerah Labbaitom di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tahap persediaan jemaah haji Malaysia yang disifatkan semakin baik dari aspek kesihatan hasil pelbagai program persediaan yang dilaksanakan sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Mengulas usaha penambahbaikan perkhidmatan, beliau berkata TH akan terus melaksanakan proses penilaian menyeluruh sebaik sahaja musim haji berakhir.

“Setiap tahun selepas musim haji, TH akan mengadakan post-mortem, membuat penilaian dan mendapatkan maklum balas daripada jemaah. Ini merupakan amalan terbaik yang menjadi antara formula kejayaan TH untuk terus menambah baik perkhidmatan dan kekal sebagai yang terbaik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan pengurusan haji Malaysia pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI