Perak ganti 6,000 km paip air usang secara berfasa

IPOH – Perak sedang dalam usaha menggantikan kira-kira 6,000 kilometer (km) paip air usang jenis simen asbestos kepada paip baru di seluruh negeri secara berfasa.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, bagaimanapun keutamaan diberikan kepada kawasan-kawasan yang mengalami keperluan mendesak.

“Kita tidak boleh menggantikan keseluruhan paip air di negeri ini (secara terus) kerana ia memerlukan suatu peruntukan yang besar, dan oleh sebab itu kita beri keutamaan pada kawasan yang memerlukan.

“Misalnya di Taiping, jika ada kejadian paip pecah lebih daripada tiga kali, kita akan gantikan ia kepada paip yang lebih baik agar ia tidak merumitkan keadaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Negeri perak paip air berfasa exco Mohammad Nizar
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 JULAI 2024.

Terdahulu melalui soalan lisan, Seng Guan meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung isu tekanan air rendah yang kerap berlaku di Taiping, terutama di kawasan perumahan Taman Bukit Mas, Taman Anjung Semarak dan Taman Tasik Permai.

Mohammad Nizar memaklumkan, tekanan air di Taiping, berada pada tekanan
yang mematuhi standard piawaian seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ujarnya, bagaimanapun masalah tekanan air rendah yang dihadapi di tiga taman perumahan itu adalah disebabkan ia berada di lokasi tanah tinggi dan paling hujung dalam rangkaian sistem bekalan air.

Kata beliau, justeru itu Lembaga Air Perak (LAP) mengambil langkah perlu dengan memastikan sistem mengepam bekalan air ke kawasan-kawasan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Masalah air yang terganggu di Taman Bukit Mas ini akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat setelah kolam air di Taman Jana Utama siap sepenuhnya dalam tahun ini. Proses memasang pam air sedang diusahakan LAP di Taiping dan Larut.

“Bagi Taman Anjung Semarak dan Taman Tasik Permai, ia tidak akan menghadapi apa-apa masalah sekiranya sistem mengepam berjalan dengan baik tanpa adanya gangguan bekalan elektrik atau ‘triping’ yang berlaku di rumah pam berkenaan,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tarif air Perak naik 5 sen setiap meter padu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI