IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi bahagian penguatkuasa telah melancarkan pelbagai operasi untuk memastikan isu penyelewengan dan ketirisan diesel bersubsidi dapat dibendung.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri tidak dapat membendung isu penyeludupan barangan bersubsidi seratus peratus.
Beliau berkata, bagaimanapun akan meningkatkan penguatkuasaan serta melaksanakan beberapa usaha lain khususnya melibatkan KPDN untuk mengatasi masalah tersebut.
Menurutnya, antara langkah yang akan diambil adalah untuk menguatkuasakan supaya tiada penjualan diesel dan Ron95 kepada kenderaan asing.
“KPDN juga akan merancakkan pelbagai operasi yang ada seperti Ops Tiris,
Ops Kesan dan sebagainya serta mengawal selia stesen-stesen minyak yang ada di negeri
Perak khususnya di sempadan negeri di samping menempatkan pegawai secara statik bagi memantau kenderaan yang membeli minyak secara berlebihan untuk keluar sempadan.
“Dalam pada itu, KPDN juga menjalankan operasi secara bersama dengan agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam dan sebagainya bagi menghalang
penyeludupan besar-besaran secara bersepadu.
“Kita juga akan menempatkan anggota KPDN di pintu masuk sempadan negara bagi
mengawal selia agar tiada barangan bersubsidi dibawa keluar dan memberi
manfaat kepada rakyat negara lain.
“Sehubungan itu, kita memohon kerjasama dari semua peniaga supaya tidak membawa
barang bersubsidi keluar dieksport ke negara luar yang sepatutnya barang
bersubsidi ini seharusnya memberi manfaat kepada rakyat negara Malaysia
tetapi dibawa keluar demi keuntungan peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Kah Leong memaklumkan dari awal Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 119,494 liter diesel telah dirampas bernilai RM256,912.10.
“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 34,580 pemeriksaan telah dijalankan dan 176 kes telah dihasilkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 22 kes adalah melibatkan barang kawalan diesel dan 10 melibatkan barang kawalan minyak masak,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan bagi minyak masak bersubsidi bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM7,552.60
“Oleh itu, dapat kita rumuskan bahawa diesel adalah jauh lebih banyak ketirisan sekiranya berbanding dengan minyak masak,” jelasnya.
Beliau berkata, untuk persaingan pembelian minyak masak antara golongan B40 dengan warga asing, pihak KPDN tidak mempunyai data rasmi berkenaan dengannya lantaran memang tidak diwajibkan untuk merekodkan maklumat terperinci pelanggan semasa pembelian minyak masak dilakukan.
“Bagaimanapun, kita ingin memaklumkan bahawa sebenarnya polisi sekarang adalah bersamaan dengan polisi sebelum ini, iaitu penjualan minyak masak bungkusan polibeg satu kilogram dihadkan sebanyak tiga unit per transaksi untuk sehari sekali pembelian bagi setiap pelanggan.
“Oleh itu, seseorang itu, tidak kira warganegara apa pun, pembelian maksimum hanya tiga unit sahaja.
“Dasar ini adalah berpunca kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan dilaksanakan sejak Januari 2021 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan sedia baiki kelemahan penyasaran subsidi diesel – Anwar