Tidak adil kait Kampung Baru Cina dengan komunis – Exco

IPOH – Tanggapan cuba mengaitkan Kampung Baru Cina dengan fahaman komunis disifatkan sebagai tidak adil serta tidak memberi gambaran yang sebenar.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, beliau sedar terdapat segelintir pihak yang masih cuba memainkan isu sehingga menimbulkan sangkaan buruk umum terhadap Kampung Baru Cina.

Menurut Kah Leong, sebagai masyarakat yang hidup dalam suasana majmuk, semua pihak seharusnya sedar bahawa negara ini kaya dengan pelbagai latar belakang famaman, budaya dan cara hidup.

“Dahulu kita kerjasama, kita sepakat pertahankan kampung baru. Akan tetapi apabila kita sudah tidak bekerjasama pula, tiba-tiba isu kampung baru diserang.

“Dan saya rasa, ahli-ahli politik tidak harus cenderung untuk memainkan isu yang bukan merupakan isu pun.

“Kita harus ingat bahawa (suatu masa dahulu, penduduk) Kampung Baru Cina (juga) adalah mangsa komunis dan ramai yang diambil nyawa dan dihancurkan keluarganya akibat ancaman komunis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Boon Piow (PH-Bercham) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kah Leong memberitahu kerajaan negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Hal Ehwal Masyarakat Cina sebagai usaha memperkasakan Kampung Baru Cina.

Menurut beliau, ia termasuk langkah mengiktiraf kewujudan penempatan itu, menghargai sumbangan anak-anak muda serta membantu menggerakkan ekonomi setempat.

Ketika menjawab soalan tambahan, Kah Leong berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan membina papan tanda yang memaparkan sejarah di sesebuah Kampung Baru Cina.

Tambah beliau, cadangan itu juga mungkin boleh diperluaskan ke kampung-kampung tradisi serta kampung masyarakat India agar dapat memberi maklumat penempatan kepada golongan muda dan pelancong.

Ketika menjawab soalan tambahan Dr Hashim Bujang (PN-Bukit Chandan), Kah Leong menjelaskan, semua usaha yang dijalankan di Kampung Baru Cina itu tidak bermakna kampung-kampung lain dipinggirkan.

Tegas beliau, kerajaan negeri sentiasa berlaku adil terhadap mana-mana pihak termasuk dalam soal pembangunan penempatan dan kampung.

“Saya membesar di Kampung Baru Pasir Bedamar yang mana ada juga rumah-rumah yang didiami masyarakat Melayu.

“Dan saya berpandangan, kita seharusnya menyambut saranan integrasi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kampung Baru Cina: Kor Ming enggan panjangkan isu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI