KUALA KANGSAR – Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sekadar jawatan, tetapi merupakan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk berkhidmat, menyumbang, serta membawa perubahan bermakna demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ahli majlis adalah jambatan antara rakyat dan PBT bagi mendengar, memahami serta menyampaikan suara masyarakat dengan jujur dan berkesan.
Menurutnya, pada masa yang sama, ahli majlis juga perlu membantu menjelaskan dasar, inisiatif dan keputusan majlis supaya difahami dengan baik oleh rakyat.
“Dalam membentuk dasar, setiap keputusan yang dibuat perlu berpaksikan realiti di lapangan. Ia memerlukan kebijaksanaan dan kepekaan agar setiap dasar yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar baik di atas kertas.
“Begitu juga dalam aspek pemantauan, ahli majlis perlu memastikan setiap perancangan dan projek yang dilaksanakan mencapai objektifnya.
“Setiap perbelanjaan perlu memberi nilai kepada rakyat, dan setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani dengan segera,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di Dewan Bendahara MPKK di sini pada Rabu yang turut dihadiri Yang Dipertua MPKK, Dr Sakduddin Zamli.
Katanya, peranan ahli majlis menjadi amat penting bukan sahaja sebagai penyampai maklumat, tetapi sebagai wakil yang benar-benar turun padang, memahami situasi sebenar dan memastikan suara rakyat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.
“Saya ingin mengingatkan bahawa inilah hakikat sebenar peranan PBT, kita berada paling dekat dengan rakyat. Maka setiap isu, sekecil atau sebesar mana sekalipun, perlu ditangani dengan rasa tanggungjawab yang tinggi, cepat dan berkesan,“ ujarnya.
Sandrea percaya bahawa kerjasama erat antara MPKK dan ahli-ahli majlis perkara seperti ini dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan bukan sahaja dari segi tindakan, tetapi juga dari segi komunikasi dan pemulihan kepercayaan rakyat.
Sementara itu, pada majlis tersebut seramai 19 ahli majlis mengangkat sumpah terdiri daripada enam wakil Barisan Nasional (BN), lima wakil DAP, lima wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan empat wakil Parti Amanah Negara (Amanah) dengan enam daripadanya adalah lantikan baharu.
Kesemua ahli majlis ini dilantik bagi tempoh dua tahun, bermula 16 Mac tahun ini sehingga 15 Mac 2028 mengikut Seksyen 10(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ahli Majlis termuda MPKK fokus pembangunan infrastruktur demi keselesaan rakyat


