KUALA KANGSAR – Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan melawat ke Galeri Wakaf Diraja Sultan Idris di sini, pada Rabu.
Ketibaan baginda sekitar jam 11 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengurus Besar Wakaf Diraja Sultan Idris, Raja Hazwan Shah Raja Danil Akhsan.
Lawatan rasmi ini bukan sekadar kunjungan instusi, tetapi membawa makna lebih mendalam sebagai manifestasi kesinambungan naungan instusi diraja terhadap pembangunan wakaf yang sekian lama menjadi sebahagian daripada warisan, pendidikan dan kebajikan umat di Perak.

Baginda telah berkenan diberikan taklimat menyeluruh mengenai sejarah penubuhan Wakaf Diraja Sultan Idris, termasuk perjalanan panjang instusi ini yang berakar daripada amanah diraja, diperundangkan sejak tahun 1917 melalui enakmen khas, dan terus kekal relevan sehingga ke hari ini sebagai instrumen pembangunan ummah.
Wakaf Diraja ini merangkumi institusi penerima manfaat penting iaitu Madrasah Idrisiah, Masjid Ridzwaniah dan Makam Diraja Al-Ghufran, selain aset komersial di Kuala Kangsar yang menjadi sumber kewangan berterusan dalam menyokong kelangsungan operasi serta manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Raja Hazwan Shah berkata, Galeri Wakaf Diraja Sultan Idris terletak di lot bangunan kedai Jalan Kangsar itu kini dibuka secara percuma kepada orang ramai.
Menurut beliau, galeri berkenaan menghimpunkan pelbagai artikel, gambar serta perkembangan aktiviti Wakaf Diraja Perak sejak lebih 100 tahun lalu.

“Banggunan galeri ini merupakan antara 19 buah rumah kedai yang merupakan wakaf Diraja di mana sewanya kita gunakan kembali kepada penerima manfaat.
“Antara penerima manfaat utama wakaf ini adalah Madrasah Idrisiah yang berperanan sebagai pusat pendidikan Islam yang melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, Masjid Ridzwaniah yang menjadi pusat ibadah dan penyatuan masyarakat, serta Makam Rahmatullah yang kini dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran sebagai institusi pemakaman diraja dan warisan sejarah negeri,” katanya.
Raja Hazwan Shah berkata, galeri berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. -MG Perak


