CHUKAI – Sepasang suami isteri ditahan polis malam tadi kerana disyaki mendera dua anak mereka yang berusia enam dan tujuh tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka di Jalan Jabor Kubur di sini kira-kira 8 malam selepas aduan oleh orang awam.
Beliau berkata suspek wanita yang berusia 26 tahun ialah ibu kandung manakala suspek lelaki, 30, merupakan bapa tiri kedua-dua mangsa.
“Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baharu pada hampir keseluruhan tubuh mereka,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Hanyan adik-beradik itu masih dirawat di hospital dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
— BERNAMA