KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu buli siber kususnya membabitkan pengguna media sosial yang mengeluarkan komen secara melampau sehingga mengancam keselamatan individu lain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mana-mana pihak atau individu yang didapati membuat hantaran dan spekulasi berkaitan sesuatu isu sehingga berlakunya fitnah, ugutan atau buli siber adalah satu kesalahan jenayah meskipun dalam talian.
Katanya, individu terbabit boleh diambil tindakan berlunaskan undang-undang yang dikuatkuasakan antaranya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
“Mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah apabila banyak spekulasi yang timbul di media sosial dengan menghina, mengutuk mencaci mangsa mahupun suspek.
“Ini secara tidak langsung boleh menganggu emosi dan memberi tekanan kepada waris keluarga, inilah buli siber. Isu ini adalah serius.
“Saya memberi amaran kepada masyarakat terutama pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan sebarang komen tidak benar dan membuat sebarang spekulasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Razarudin, polis memandang serius terhadap kepenggunaan media sosial secara melampau sehingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain.
Malah mana individu-individu yang merasakan dibuli di media sosial diminta melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera.
“Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian sepertimana yang menimpa pada pempengaruh Tiktok, Esha.
“PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah-langkah dan tindakan yang lebih tegas dalam memerangi unsur buli siber ini.
“PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau pada masa yang sama menyeru orang ramai memberi ruang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam sesuatu kes.
“Jangan sesekali menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh menimbul fitnah yang mana polis boleh menyiasat jika menerima laporan polis dan dituduh di mahkamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette