IPOH – Kehadiran pelajar di sekolah rendah dan menengah seluruh daerah di Perak mencatatkan kemerosotan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berdasarkan laporan yang diterima.
Tanpa memberi perincian lanjut, katanya, terdapat sekolah yang berhadapan dengan masalah kehadiran harian pelajar kurang daripada 95 peratus, malah ada yang hanya merekodkan kehadiran 80 peratus sahaja.
Beliau melihat perkembangan itu sebagai membimbangkan dan gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan agar semua sekolah mesti mencapai kehadiran harian pelajar melebihi 95 peratus.
Khairudin berkata, terdapat beberapa faktor yang dikesan menjadi mendorong kepada masalah itu antaranya pelajar berhadapan dengan masalah keluarga, serta masalah pengangkutan ekoran kedudukan sekolah jauh dari lokasi rumah.
“Semua daerah berhadapan dengan masalah itu, malah ada sekolah yang berhadapan dengan situasi yang agak kritikal terutama sekolah di kawasan pedalaman yang mana pelajar berhadapan dengan masalah pengangkutan, dan tidak mahu tinggal di asrama.
“Di samping itu, antara punca lain yang dikenal pasti sebagai pendorong masalah ini adalah sikap diri sendiri, masalah keluarga, pengangkutan, pengaruh rakan sebaya, malah ada yang tidak hadir ke sekolah disebabkan bekerja kerana sudah ada pendapatan sendiri.
“Mereka yang bekerja ini kita bimbang sekiranya terus tidak hadir ke sekolah, ia akan memberi kesukaran untuk mereka menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang mana ia merupakan perkara penting untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato’ Seri Husni, Chemor di sini, anjuran bersama Mimbar Nusantara Holding dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, pada Selasa.
Khairudin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah telah mengadakan Program Ziarah Cakna dan Ops Bantu khusus bagi mengatasi masalah tersebut.
Katanya lagi, selain pihak sekolah, komuniti atau masyarakat juga perlu memberi kerjasama bagi memastikan golongan pelajar tidak terus culas untuk hadir ke sekolah.
“Kita mengharapkan dengan adanya gabung jalin program kerjasama antara komuniti dan juga pihak lain seperti polis, ketua kampung, penghulu dan sebagainya yang boleh membantu untuk mengenal pasti pelajar yang mungkin tidak hadir.
“Kalau tidak hadir, mereka tak belajar jadi kita khuatir kalau tidak belajar macam mana mereka nak menghadapi peperiksaan dan ujian yang dijalinkan pihak sekolah,” katanya. – MG Perak