Pengganti Zuki akan diumumkan tidak lama lagi – Anwar

PUTRAJAYA – Pengganti kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, calon bagi menggantikan Mohd Zuki belum dimuktamadkan.

“Tidak (nama pengganti belum ada), pengganti KSN akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De. Seri Endon, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan ucapan penghargaan kepada Mohd Zuki yang tidak pernah letih memberikan nasihat dan menjalankan perkhidmatan sebagai anggota tertinggi dalam perkhidmatan awam.

“Beliau tidak pernah mengeluh, saya bernasib baik kerana kita melihat di media yang ditegur itu isu kelewatan, tapi ada yang kurang memberikan tumpuan bukan penjawat awam berikan seluruh tenaga untuk nusa dan bangsa.

“Saya rasa lebih ramai berjaya tapi dalam kerajaan mengemudi ia tambah meringankan bila kita lihat penjawat awam itu betul-betul komited dan mencurahkan segalanya, waktu dan tenaga.

“Siapa yang dekat dengan saya, tahu saya bekerja tapi itu Ketua Setiausaha Negara tidak pernah beri gambaran beliau susah dengan tekanan dan bebab yang saya berikan,” katanya ketika ucapan pada majlis itu.

Dalam pada itu, Anwar mengakui beliau akan kehilangan pendamping dan tonggak penting dalam perkhidmatan awam ekoran persaraan Mohd Zuki.

“Saya bersyukur kerana sejak menjadi Perdana Menteri, selain ada rakan dalam pentadbiran, saya juga didampingi tonggak penting dalam Perkhidmatan Awam iaitu Tan Sri Zuki dan kebetulan perhimpunan ini terakhir bagi beliau selaku KSN,” katanya.

Anwar berkata, bermula hari pertama beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada November 2022, Mohd Zuki secara konsisten memberi nasihat, cadangan dan pandangan untuk kebaikan perkhidmatan awam dan negara.

“Saya menghargai dan terhutang budi kepada beliau kerana walaupun berpengalaman berkhidmat dengan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi beliau tetap menjalankan khidmat secara professional,” katanya.

Mohd Zuki yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019 akan tamat perkhidmatan secara kontrak pada 10 Ogos ini.

Beliau dilantik semula kepada jawatan tersebut secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos 2022.

Mohd Zuki berkerja di bawah empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketujuh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Anwar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI