70 kes jenayah direkodkan di masjid, surau – Polis Perak

IPOH – Sebanyak 70 kes direkodkan melibatkan perlakukan jenayah di masjid dan surau di Negeri Perak, sepanjang tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, daripada jumlah itu 49 kes melibatkan kecurian tabung dan 10 kes kecurian motosikal di pekarangan masjid atau surau

“Kita juga merekodkan tiga kes berkaitan kecurian peralatan surau, pergaduhan (empat kes), dan memecah masuk premis masjid atau surau (dua kes).

“Sementara kes merusuh atau bergaduh dalam bilangan yang ramai serta kes kecurian atau pecah cermin kereta masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, walaupun kadar jenayah di masjid dan surau masih rendah, masyarakat masih perlu memainkan peranan untuk bersama membantu pihak polis bagi mengekang kejadian berkenaan.

Jelas Azizi, statistik berkenaan merupakan sebahagian daripada tazkirah ringkas yang disampaikan pegawai polis menerusi Program Kepolisan Komuniti (HPP) serentak di semua 181 masjid seluruh negeri, sebelum solat Jumaat.

Jelas beliau, ia sebahagian daripada inisiatif yang digerakan Polis Perak agar hubungan antara polis dan masyarakat dapat terus dipereratkan sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah di peringkat komuniti setempat.

Jenayah kes polis surau polis perak tempoh negeri azizi
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Superintendent Mohd Husni Manaf, menyampaikan tazkirah ringkas pada Program Kepolisan Komuniti (HPP) di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Seberang Sungai Tapah, Ipoh. foto IHSAN PDRM PERAK

“Jika sebelum ini kita melaksanakan program berdasarkan kepada hari-hari tertentu seperti Hari Polis dan sebagainya.

“Dan kali ini, kita akan lakukan secara berkala dan mungkin sekurang-kurangnya sebulan sekali di masjid lain. Ini bagi memastikan mesej kita dapat sampai kepada semua lapisan masyarakat,” jelas beliau.

Dalam pada itu Azizi berkata, antara usaha lain digerakan polis untuk mengurangkan kadar jenayah di peringkat komuniti adalah dengan mengadakan pelantikan Pegawai Perhubungan Masjid dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

Selain itu, beliau juga turut memuji tindakan sebahagian besar masjid di Perak yang ketika ini mengambil pendekatan pengekangan jenayah yang seiring dengan perkembangan teknologi sedia ada.

“Kita dapat lihat kebanyakan masjid sudah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang sangat membantu dalam mengukuhkan sesuatu pendakwaan kes.

“Sistem penggera kecurian juga boleh diusahakan jika dirasakan ia perlu sebagai salah satu langkah mengatasi jenayah harta benda,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Amat buruk jika masjid jadi tempat sebarkan cerita karut, tanpa kesahihan’ – Khutbah Jumaat Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI