Perak jalankan tinjauan impak krisis semasa terhadap rakyat

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang menjalankan kajian tinjauan bagi menilai impak krisis semasa terhadap rakyat di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kajian itu dilaksanakan menerusi pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh berkaitan kesan semasa khususnya melibatkan aspek sosial dan keusahawanan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti dapatan awal serta merangka tindakan bersesuaian demi membantu rakyat berdepan cabaran tersebut.

“Di bawah portfolio saya bukan sahaja Wanita Perak, tetapi melibatkan keusahawanan dan koperasi dan juga di bawah konteks sosial.

“Jadi semua agensi-agensi sedang mendapatkan respons untuk melihat bagaimana dapatan itu dan tindakan-tindakan yang boleh kerajaan negeri lakukan.

“Dari segi sosial kita baru buka (kajian) seminggu. Mungkin bermula pada Jun dan ke atas kita akan dapat melihat impak yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini, pada Khamis.

Perak jalankan tinjauan impak krisis semasa terhadap rakyat
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed pada sidang media selepas merasmikan Program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh pada Khamis. Foto Rosdalilah Zahari

Hadir sama, Pengarah Sekretarian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW) Perak, Jamilah Zakaria.

Dalam perkembangan sama, Salbiah menjelaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam menangani isu berkenaan melalui penubuhan dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Khas Impak Krisis Negeri Perak dan Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis Negeri Perak.

“Insya-Allah, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad telah memaklumkan kerajaan negeri sedang melakukan penjajaran kepada bajet yang sedia ada untuk melihat keperluan.

“Kemudian, daripada jawatankuasa diwujudkan saya yakin dan percaya akan mendapat hasil daripada semua pihak dan mungkin akan mengumumkan inisiatif-inisiatif kepada rakyat negeri Perak,” ujarnya.

Sebelum ini kerajaan negeri menerusi Saarani memaklumkan akan melibatkan pembabitan pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam dua jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan bagi menangani impak krisis global terhadap ekonomi dan rakyat.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Impak Krisis Negeri Perak yang diwujudkan itu akan dipengerusikan beliau, manakala Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis Negeri Perak pula dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pelbagai pandangan pihak berkepentingan serta keperluan semasa di lapangan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak libatkan pemain industri, NGO dalam jawatankuasa khas tangani impak krisis global

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI