Perak libatkan pemain industri, NGO dalam jawatankuasa khas tangani impak krisis global

GOPENG – Perak akan melibatkan pembabitan pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam dua jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan bagi menangani impak krisis global terhadap ekonomi dan rakyat.

Menteri Besar,, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pelbagai pandangan pihak berkepentingan serta keperluan semasa di lapangan.

Katanya, Jawatankuasa Khas Impak Krisis Negeri Perak yang diwujudkan itu akan dipengerusikan beliau, manakala Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis Negeri Perak pula dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

“Kedua-dua jawatankuasa ini mempunyai fungsi berbeza namun matlamatnya adalah sama. Bagi jawatankuasa yang dipengerusikan saya, ia akan menumpukan kepada perbincangan berkaitan kesan konflik dan krisis global terhadap ekonomi negeri dan rakyat secara keseluruhan.

“Manakala jawatankuasa dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pula akan melibatkan jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Gopeng Avante oleh Kumpulan Syarikat Team Keris Berhad (TKB) di Bandar Seri Raya di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan TKB, Datuk Lee Seng Hee serta Pengerusi Eksekutif Bumi Avante Sdn. Bhd, Ramelle Ashram Tun Ramli.

krisis global Perak jawatankuasa khas impak krisis global Perak ekonomi Perak 2026 Saarani Mohamad krisis global jawatankuasa ekonomi Perak bantuan kos sara hidup Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan penyerahan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Dahikmah Gopeng pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Gopeng Avante di Bandar Seri Raya, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF 23 APRIL 2026.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua jawatankuasa itu mempunyai keanggotaan tetap terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, namun turut melibatkan pihak luar mengikut keperluan semasa.

Saarani berkata, pendekatan itu membolehkan setiap isu ditangani secara lebih menyeluruh dan berkesan, khususnya melibatkan aspek yang menyentuh soal kebajikan rakyat.

“Sekiranya mesyuarat melibatkan sektor perumahan, kita akan jemput pihak berkaitan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).

“Jika berkaitan bekalan makanan dan bantuan, penglibatan pihak berkaitan diperlukan seperti Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Bagi inisiatif jualan harga murah pula, kita akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), YBU dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” ujarnya.

Pada Selasa, ketika penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Saarani berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan dua jawatankuasa khas untuk melaksanakan pelan mitigasi kesan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga dunia.

Beliau berkata, peranan khusus kedua-dua jawatankuasa itu akan diperincikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Krisis tenaga global: Perak akan wujudkan dua jawatankuasa mitigasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI