Krisis tenaga global: Perak akan wujudkan dua jawatankuasa mitigasi

IPOH – Perak akan mewujudkan dua jawatankuasa khas di peringkat negeri bagi melaksanakan pelan mitigasi impak krisis tenaga global yang memberi kesan kepada sektor ekonomi dan kehidupan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa berkenaan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Mitigasi Impak Krisis serta Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis.

Katanya, peranan khusus dua jawatankuasa tersebut akan diperincikan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat dengan ia akan disusuli dengan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi serta intervensi secara berfasa.

“Bagaimanapun, langkah-langkah yang akan diperhalusi akan mengambil kira tindakan intervensi yang sedang dan akan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Ia bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau ketirisan sumber, di samping memastikan setiap usaha yang digerakkan benar-benar melengkapi dan memperkukuh pendekatan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Saarani memaklumkan, cadangan penubuhan dua jawatankuasa itu juga hasil daripada mesyuarat penyelarasan bersama ketua-ketua jabatan negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 14 April lalu.

Beliau berkata, beberapa tindakan awal juga telah digerakkan termasuk penetapan keutamaan kepada sektor keterjaminan makanan, penilaian semula peruntukan agar lebih tertumpu kepada hal-hal yang menyentuh keperluan yang mendesak.

“Institut Darul Ridzuan (IDR) juga telah membuat kajian awal yang memperincikan kesan krisis ini, yang disusuli dengan syor-syor kepada kerajaan negeri untuk merangka tindakan yang tangkas dan melaksanakan langkah-langkah intervensi berdasarkan data di lapangan,” katanya.

Tambah Saarani, fasa awal langkah mitigasi akan memberi tumpuan kepada perkara asas yang merangkumi keperluan di dapur dan meja makan rakyat, di samping memastikan keperluan makanan rakyat terus terjamin khususnya mereka yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup ketika ini.

Jelas beliau, pada fasa-fasa seterusnya pula kerajaan negeri akan melaksanakan langkah mitigasi terhadap sektor-sektor strategik negeri, selain memastikan golongan seperti petani dan usahawan kecil dapat diupayakan sekiranya keadaan krisis tenaga bertambah buruk.

“Ikhtiar kerajaan juga tertumpu kepada, memastikan bekalan makanan kekal stabil; membantu sektor-sektor yang terkesan seperti pengangkutan, pertanian dan perikanan; serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global ini,” katanya.

Menurut Saarani, kerajaan negeri juga akan melaksanakan penjajaran semua perbelanjaan bagi tahun 2026 bagi memastikan pelan mitigasi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ujar beliau, menerusi inisiatif itu kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat dalam situasi semasa.

“Peruntukan-peruntukan yang kurang kritikal akan diteliti semula, supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan secara lebih optimum bagi menyokong pelaksanaan langkah-langkah intervensi ini.

“Dalam masa yang sama, sekiranya keadaan memerlukan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan pelaksanaan belanjawan tambahan bagi memperkukuh usaha mitigasi.

“Ia khususnya dalam melindungi kebajikan rakyat, menyokong sektor-sektor yang terjejas, serta memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri terus terpelihara,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Krisis Asia Barat: Negara berisiko hadapi darurat tenaga, bekalan makanan

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI