Krisis Asia Barat: Negara berisiko hadapi darurat tenaga, bekalan makanan

IPOH – Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan susulan daripada Konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau, ekonomi dunia serta emosi umat manusia

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dalam usaha menangani krisis yang kritikal ini, kerajaan dan rakyat diseru agar perlu bersatu.

Justeru itu titah baginda, rakyat perlu difahami tentang punca krisis yang berlaku serta implikasi terhadap kehidupan mereka melalui pelan komunikasi berkesan yang mudah difahami oleh rakyat biasa.

“Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit.

“Anggota Dewan Negeri baik di pihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat, begitu juga pihak swasta dan kerajaan, hendaklah mencari titik persamaan.

“Tunjukkan semangat bersatu serta saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda dengan menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

“Buktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu; serta merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang membimbangkan ini, demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Titah baginda lagi, Tiada suatu pun negara di dunia dapat terlepas daripada tempias kesan rantaian ke atas ekonomi, harga bahan api global, barangan dan perkhidmatan, susulan krisis berkenaan.

Baginda bertitah, oleh itu kerajaan negeri perlu mengambil iktibar terhadap apa yang sedang berlaku di samping tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya melihat krisis itu sebagai loceng amaran untuk merintis langkah-langkah proaktif.

Sultan Nazrin krisis Asia Barat kerajaan sultan perak negeri krisis Asia Barat tenaga makanan, konflik Amerika Syarikat Israel Iran, darurat tenaga Malaysia, bekalan makanan Malaysia, tenaga boleh diperbaharui Malaysia, kenderaan elektrik EV Malaysia, ekonomi global krisis
Gambar fail: Empangan Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2021.

“Kerajaan sewajarnya segera melakukan usaha membangunkan kemudahan untuk menggalakkan rakyat memiliki pilihan, untuk beralih kepada tenaga alternatif, termasuk kenderaan elektrik (EV), dan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Usaha peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, disegerakan, dan dilaksanakan secara bersungguh. Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, kerajaan juga perlu memperkukuhkan kekuatan ekonomi domestik, keselamatan kewangan serta kestabilan kewangan di samping rakyat turut diseru mengamalkan budaya penjimatan.

“Perpaduan rakyat juga perlu dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi.

“Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menganut pelbagai agama, keharmonian ialah aset paling berharga yang wajib dipertahankan,” titah baginda. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak alu-alukan pelabur Asia Timur susulan konflik Asia Barat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI