Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah terbesar di Asia Tenggara

IPOH – Dibina dengan kos mencecah RM1 bilion Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah menjadi mercu tanda baharu dan pemangkin dalam bidang perubatan rehabilitasi negara.

Fasiliti terbesar di Asia Tenggara ini turut menggabungkan elemen warisan budaya negeri Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas serta reka bentuk futuristik moden.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pusat rehabilitasi itu juga menjadi hab terbesar di rantau ini dan pusat kecemerlangan bagi rehabilitasi serta Program Return To Work (RTW) di peringkat global.

“Selain menjadi pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara, pusat ini juga merupakan fasiliti dengan bilangan unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO di Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 JUN 2026.

“Melalui kerjasama strategik antara PERKESO dan Cyberdyne Incorporation, Jepun, sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi Lower Limb, Single Joint, dan Lumbar disediakan untuk manfaat pesakit yang menerima rawatan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di sini, pada Selasa.

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian pusat tersebut diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, dengan keupayaan teknologi berkenaan pusat tersebut bakal menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik dan Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi melalui penawaran 151 jenis perkhidmatan komprehensif, termasuk perkhidmatan neuro-robotik, rawatan sibernik, neuromodulasi, serta program Advanced Return-To-Work (RTW).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meninjau fasiliti serta kemudahan rehabilitasi berteknologi tinggi ketika lawatan ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 JUN 2026.

“Di bawah rehabilitasi vokasional pula, pelbagai modul latihan ditawarkan merangkumi bidang teknikal, sajian, kreatif, pentadbiran, serta kecantikan, bagi meningkatkan kefungsian dan kebolehpasaran mereka.

“Usaha ini diperkukuh melalui kerjasama dengan pemain industri tempatan yang berfungsi sebagai (on job training) dalam bidang kulinari, barista, dan keusahawanan.

“Bagi menyokong pengintegrasian semula individu ke dalam masyarakat, perkhidmatan padanan dan penempatan pekerjaan turut disediakan secara langsung di bawah MYFutureJobs PERKESO,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meninjau fasiliti serta kemudahan rehabilitasi berteknologi tinggi ketika lawatan ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 JUN 2026.

Ramanan berkata, semua inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan rehabilitasi yang menyeluruh dan holistik. Kita tidak hanya fokus kepada rawatan fizikal, namun kita berusaha membantu pesakit membina semula keyakinan diri, mendepani cabaran dunia kerjaya sebenar agar kembali produktif.

“Selain itu, selaras penguatkuasaan skim perlindungan seperti LINDUNG 24 Jam, Akta Pekerja Gig 2025, dan Skim Pengembara yang kini dalam perancangan, kita menjangkakan peningkatan kadar tuntutan sehingga 200 peratus berbanding kira-kira 170,000 kes setahun sebelum ini.

“Lonjakan ini menuntut kapasiti perkhidmatan rehabilitasi yang lebih efisien dan bersepadu. Maka, melalui pembangunan pusat ini, PERKESO akan mengubah landskap rehabilitasi negara seiring perkembangan teknologi dan keperluan pendekatan rehabilitasi yang lebih dinamik,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI