IPOH – Cabaran sukan permotoran lasak, Rimba Raid buat julung kali diadakan di Lenggong selepas lapan tahun penganjurannya di Pahang sejak mula diperkenalkan pada tahun 2015.
Rimba Raid Lenggong 2024 yang akan diadakan pada 25 hingga 29 September depan adalah acara lasak melibatkan motosikal berkuasa tinggi yang melalui jarak perlumbaan sejauh 300 kilometer di dalam hutan di Lenggong.
Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Datuk Nik Huzlan Nik Hussain berkata, setakat ini seramai 250 peserta termasuk 10 peserta wanita melibatkan 17 negara sudah mendaftarkan diri untuk menyertai acara tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat lapan negara yang belum mengesahkan penyertaan dan pada penganjuran kali ini, seramai 60 peserta tempatan manakala selebihnya antarabangsa akan bertanding melibatkan tiga kategori iaitu MasterClass A, Class B dan Class C.
Katanya, peserta akan menempuh beberapa halangan yang mencabar sepanjang laluan hutan tersebut antaranya bukit bukau, cerun dan sungai.
Menyentuh sama ada pertandingan ini akan mengganggu ekosistem hutan di kawasan tersebut, Nik Huzlan berkata, perlumbaan tersebut dilakukan dengan peraturan ketat tanpa menjejaskan alam sekitar dan tidak melibatkan kerosakan hutan.
“Penganjuran kali ini akan tampil dengan kelainan melibatkan trek baharu menggunakan laluan balak yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu.
“Sebelum kita masuk ke lokasi memang kita tinjau dengan renjer Jabatan Perhutanan supaya kita tak boleh pergi jauh dan tidak akan merosakkan hutan.
“Berdasarkan pengalaman bila saya buat di Kuala Tahan, tiga bulan kemudian kita sudah tidak jumpa jalan itu. Lalang dan apa semua akan hidup balik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Rimba Raid Lenggong 2024 di Hard Rock Café, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kemasukan perlumbaan Rimba Raid di Lenggong secara tidak langsung membantu melonjak ekonomi penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan di daerah tersebut.
“Rimba Raid boleh menjadi salah satu acara melonjakkan jenama Lenggong dan membantu menjana pendapatan penduduk tempatan dengan kehadiran peserta yang terdiri daripada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Selain itu, kawasan Lenggong juga boleh dijadikan lokasi untuk pembinaan litar motor yang boleh dijadikan satu acara dalam kalendar pelancongan. Kita akan membincangkannya bersama Datuk Nik Huzlan berhubung perkara tersebut,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isaac, Sze Hui juara kebangsaan Piala Remaja Triatlon Asia 2024