Gangguan bekalan air di Muallim dijangka selesai berperingkat mulai esok – Exco

TANJUNG MALIM – Gangguan bekalan air yang sedang dihadapi pengguna akaun Lembaga Air Perak (LAP) di Muallim dijangka selesai secara berperingkat mulai esok.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini sebanyak 40 peratus masalah gangguan air di daerah berkenaan telah selesai.

Gangguan bekalan air di Muallim dijangka selesai berperingkat mulai esok Mohammad Nizar Slim River Behrang Tanjung Malim
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika sidang media ekoran Jambatan Slim Village di Slim River runtuh akibat kepala air susulan hujan lebat berterusan semalam, sehingga menyebabkan penduduk setempat terperangkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

“Jika 40 peratus masalah bekalan air hari ini telah berjaya diselesaikan, maka (mulai) esok akan lebih banyak lokasi yang mengalami masalah sama juga jangka selesai.

“Dan setakat ini LAP telah membekalkan air bersih sekurang-kurangnya kepada enam tangki meliputi di kawasan tanah tinggi dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Malim yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Pagi tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, 70 peratus daripada 12,000 pemegang akaun LAP di daerah berkenaan mengalami gangguan bekalan air sejak Jumaat.

Katanya, masalah itu timbul susulan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di bahagian hulu Sungai Slim pecah sehingga menyebabkan kejadian kepala air di Sungai Slim.

Gangguan bekalan air di Muallim dijangka selesai berperingkat mulai esok Mohammad Nizar Slim River Behrang Tanjung Malim
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang melakukan tinjauan keadaan Jambatan Slim Village di Slim River sekitar petang tadi yang runtuh akibat kepala air susulan hujan lebat berterusan semalam, sehingga menyebabkan penduduk setempat terperangkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

Bencana alam yang berlaku lewat petang itu kemudiannya mengakibatkan struktur Jambatan Lama Sungai Slim runtuh dan secara langsung merosakkan paip saluran utama pada jambatan itu.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar memberitahu, beliau akan membawa cadangan untuk mempercepatkan peroleh peruntukan dianggarkan lebih RM12,000 bagi projek pembinaan jambatan baru kekal di Jalan Slim River-Behrang Ulu itu pada Mesyuarat Exco nanti.

“Jika proses ini dapat dipercepatkan, maka mungkin usaha pembinaan jambatan baharu itu dapat dilaksanakan segera mungkin.

“Dan untuk pembinaan jambatan sementara atau jambatan bailey, strukturnya akan dibina lebih tinggi daripada ketinggian 6 meter jambatan asal untuk tujuan keselamatan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri bercadang untuk memasang siren amaran di Sungai Slim sebagai amaran berlakunya kejadian bencana seperti kepala air.

Jelas beliau, langkah itu dilihat dapat memastikan penduduk dan pengunjung bersiap sedia sekiranya hujan lebat, banjir serta kepala air.

“Kita akan buat permohonan pemasangan ini kerana kawasan ini sudah berlaku (kejadian kepala air).

“Mengikut pemantauan kita, apabila sudah berlaku kejadian kepala air, pada masa akan datang ia boleh berlaku lagi. Maka kena ada usaha untuk beritahu penduduk kampung supaya lebih berhati-hati,” ujar beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jambatan runtuh: 70 peratus pemegang akaun air di Muallim terjejas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI