Elak monyet punca kereta dinaiki enam sekeluarga masuk parit

BAGAN SERAI – Gara-gara cuba mengelak monyet melintas, kereta yang dinaiki enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak terbabas lalu terjunam ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama -Bagan Serai, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, dalam kejadian sekitar jam 3.45 petang itu, kereta Proton Iriz yang dipandu seorang wanita bersama lima penumpang dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit cuba mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh dalam parit di sebelah kanan jalan.

“Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibenarkan pulang pada hari sama selepas pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan serius.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59,” jelasnya.

Sebelum ini tular video berdurasi 35 saat di media sosial memaparkan keluarga terbabit diselamatkan dua lelaki sebelum kereta tersebut tenggelam di dalam parit. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua maut, dua cedera parah kereta hilang kawalan, langgar tembok

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI