Tolak penyelarasan silibus BM di sekolah rendah vernakular tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional mengecam sekeras-kerasnya tindakan sembilan institusi pendidikan Cina yang sebulat suara menolak inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyelaras silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

Ketuanya, Senator Hasbie Muda berkata, keputusan itu adalah satu langkah tidak bertanggungjawab dan mencerminkan sikap bertentangan dengan usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

Tegas beliau, inisiatif KPM menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di semua sekolah rendah termasuk sekolah vernakular itu bertujuan memastikan semua pelajar di Malaysia mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan tunjang perpaduan di negara ini.

“Inisiatif KPM itu penting untuk membina jati diri sebagai rakyat Malaysia yang memahami dan menghormati budaya serta bahasa kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan sembilan institusi pendidikan Cina di negara ini sebulat suara menolak inisiatif KPM menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata, penolakan itu kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan Bahasa Melayu.

Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa kedua pelajar terbabit, maka tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain.

Lek Aee dipetik berkata demikian oleh China Press ketika hadir mesyuarat dalaman mengenai penyelarasan silibus Bahasa Melayu sekolah rendah vernakular di Bangunan Dong Zong, kelmarin.

Sementara itu, Hasbie turut menyifatkan kenyataan Lek Aee yang mana Bahasa Melayu tidak boleh diajar menggunakan silibus yang sama seperti pelajar Melayu lain kerana bukan bahasa ibunda pelajar sekolah Cina sebagai tidak wajar.

Tegasnya, bahasa Melayu adalah bahasa pertama di negara ini dan seharusnya menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk menguasainya tanpa mengira latar belakang etnik atau bahasa ibunda.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan KPM mengambil langkah tepat dengan memperkenalkan penyelarasan silibus itu bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah vernakular.

“Langkah ini bukan sahaja penting untuk tujuan akademik tetapi juga untuk memupuk perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Hasbie menggesa sembilan institusi pendidikan Cina tersebut menarik balik penolakan mereka terhadap inisiatif berkenaan dan memberikan kerjasama penuh kepada KPM demi masa depan generasi muda dan perpaduan negara.

Dalam masa sama, beliau menyeru KPM untuk terus teguh dalam pelaksanaan dasar itu tanpa mengalah kepada tekanan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI