KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tiga doktor awam di Pulau Pinang.
Menurut kenyataan KKM, ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warganya serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya.
“(Ini) bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya, hari ini.
Semalam, media melaporkan, dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta di Pulau Pinang antara 40 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah lebih RM2 juta.
Sumber berkata, tangkapan ke atas tiga doktor itu dibuat di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya manakala orang awam termasuk pekerja swasta yang membuat tuntutan palsu itu dilakukan beberapa kawasan sekitar negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette