IPOH – Semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Ketua Kampung Baru Cina di seluruh negara disaran untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, mereka perlu proaktif di lapangan selain menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Menurutnya, jawatan sebagai ketua kampung bukan hanya boleh dianggap sebagai suatu pengiktirafan semata-mata sebaliknya, ia merupakan amanah besar yang menuntut setiap ketua kampung untuk bertindak sebagai anggota barisan hadapan.
“Mereka perlu bertindak sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dasar kerajaan, menjaga kebajikan rakyat serta memelihara keharmonian komuniti.
“Jadilah ketua kampung yang disenangi oleh warga kampung dan sentiasa mencari ikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kampung masing-masing. Hasrat ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dengan juga dengan prinsip ‘Tiada yang tertinggal dan tiada yang terpinggir’”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Baru Cina Perak di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.
Pada majlis tersebut, seramai 160 ketua Kampung Baru Cina dari seluruh negeri telah menerima watikah pelantikan JPKK masing-masing.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dalam memperkasakan pembangunan di 613 buah Kampung Baru Cina di seluruh negara.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu memaklumkan, usaha itu dilaksanakan melalui empat hala tuju utama yang ditetapkan KPKT iaitu pembangunan, pengindahan, pelancongan serta pengukuhan produk tempatan menerusi inisiatif ‘Kampung Good.
“Sehingga kini, sebanyak 2,750 projek pembangunan telah dilaksanakan di Kampung Baru Cina di seluruh negara. Ia merangkumi penaiktarafan infrastruktur asas, pembinaan kemudahan awam seperti taman dan medan selera, pembaikan jalan kampung serta pemasangan lampu jalan,” tambahnya.

Ujar beliau lagi, usaha itu turut merangkumi projek bina baharu dan baik pulih rumah bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Semua ini sudah tentu memerlukan kerjasama ketua kampung. Sebab itu pada tahun ini, bagi negeri Perak, pejabat Menteri akan memilih 10 Ketua Kampung Baru Cina berprestasi tinggi untuk diberikan imbuhan serta pengiktirafan.
“Saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya ketua kampung yang benar-benar berjasa, berbakti dan komited dalam tugas turut diberikan pengiktirafan termasuk bonus sebagai galakan untuk mereka terus tekun berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan, Kor Ming telah mengarahkan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah agar segera menyelesaikan isu berbangkit bagi menyegerakan projek pembinaan kompleks parkir bertingkat bernilai RM15 juta di Jalan Panglima, di sini, pada minggu ini.
Kata beliau, projek yang dilaksankan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) itu masih menunggu Majlis Bandara Ipoh (MBI) bagi menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah serta syarat-syarat dengan konsesi.
“Jika projek ini dilaksanakan dan disiapkan segera, ia dapat menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan Bandar Lama Ipoh yang sudah berlarutan sejak lebih dari 20 tahun,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


