IPOH – Kerajaan negeri Perak menafikan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina pada tahun lalu seperti yang didakwa seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam satu ceramah pembangkang baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aktivis berkenaan mengeluarkan kenyataan itu ketika berkongsi pentas bersama pimpinan parti politik pembangkang, mereka-reka cerita kononnya kerajaan negeri meluluskan peruntukan tersebut selepas menerima desakan politik.
Menurutnya, sebaliknya ia adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kampung baru Cina termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.
“Amat dikesali apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang sangat terpesong sehingga mengundang salah tanggapan publik terhadap kerajaan negeri.
“Paling menggusarkan apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan bermacam persepsi negatif dan komen jelik lalu mengakibatkan perdebatan bermotif kaum di laman sosial,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, untuk rekod, jika KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung-kampung baru Cina, kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar.
“Pada tahun 2023 misalnya, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak,” jelasnya.
Justeru, Saarani berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat, tetapi ia perlu dilakukan atas prinsip kebenaran dan bukan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita bagi menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Sebelum ini, tular klip video memaparkan aktivis terbabit mendakwa kerajaan Perak meluluskan peruntukan RM30 juta kepada kampung baru Cina selepas menerima desakan politik daripada pihak tertentu.
Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu program ceramah pembangkang pada 3 September lalu berlangsung di Bukit Katil, Melaka. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MAPS: ‘Razman Exco penggal lepas, kenapa sekarang baru tanya’ – Saarani