Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa manipulasi isu agama, kaum

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang berterusan memanipulasikan isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia akan memberi kesan pada rakyat yang menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturrahim.

“Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.

“Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 dengan tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” sebagai asas untuk dihayati semua lapisan masyarakat, di sini hari ini.

Turut berangkat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Selain itu, ia juga dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya serta jemaah menteri yang lain.

Tambah Mohd Na’im, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bertujuan menyuburkan kecintaan, menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan Bagida Rasulullah berasaskan ilmu dan hikmah.

“Dalam keceriaan yang berwarna-warni, ayuh kita terus bersatu hati mendoakan sahabat-sahabat kita di Palestin diberikan kesejahteraan dan keselamatan.

“Tidak dilupakan, turut didoakan rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan agar dikurniaka kesihatan dan kesembuhan.

“Marilah bersama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengurniakan limpahan kemakmuran dan keberkatan kepada seluruh rakyat dan negara tercinta,” jelasnya.

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI