IPOH – Kontinjen Negeri Perak menyasarkan pungutan sekurang-kurangnya 28 pingat emas dengan kedudukan tiga teratas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia sebagai harapan untuk memperbaiki kedudukan skuad negeri yang mengutip 25 emas pada edisi temasya sukan itu sebelum ini.
Katanya, seramai 93 atlet dan 81 orang pengurusan serta pegawai kontinjen akan ke Bumi Kenyalang bagi merealisasikan misi ‘Silver to Gold’ (Perak ke Emas).
“Pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-21 itu, Kontinjen Perak menyertai sembilan daripada 10 acara sukan yang dipertandingkan iaitu boccia, memanah, olahraga, badminton, ping pong, boling padang, tenpin boling, powerlifting dan catur.
“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi persiapan dan pengelolaan kontinjen Para SUKMA kita yang dikawal selia oleh Majlis Sukan Negeri (MSN),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Negeri Perak ke Temasya Para SUKMA Sarawak 2024 di Hotel MH, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Kontinjen Para SUKMA Negeri, merangkap Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Perak, Nurazah Dahlan serta Pengarah MSN Perak, Mazlan Mohamad.
Dalam pada itu, ujar beliau kerajaan negeri turut meneruskan insentif sama bagi atlet yang berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri, sama seperti atlet SUKMA sebelum ini iaitu, RM5,000 penyumbang emas, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,000).
Malah Khairudin memberitahu, Kerajaan Perak juga akan memberikan insentif kemenangan tambahan secara sekali beri kepada atlet Para yang menghadiahkan pingat kepada kontinjen negeri sepanjang temasya sukan itu berlangsung.
Jelas beliau, insentif itu akan diserahkan sebaik sahaja tamat upacara penyampaian hadiah bagi setiap acara yang mereka sertai.
“Bagi acara sukan individu, atlet yang meraih pingat emas akan menerima RM300, RM200 (perak), dan RM100 (gangsa). Sementara bagi atlet berpasukan, mereka yang menyumbang emas akan menerima RM150, RM100 (perak), RM50 (gangsa).
“Di samping itu sebagai menambah motivasi, kerajaan negeri juga memberikan belanja poket tunai secara sekali beri kepada setiap seorang atlet sebanyak RM400 dan RM800 bagi pengurusan pasukan,” katanya lagi.
Pada edisi Para SUKMA 2022 lalu di Kuala Lumpur, Kontinjen Perak berada pada kedudukan kelima dengan pungutan 25 pingat emas, 15 perak dan 14 gangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan: