W-SAP, inovasi ‘bank air’ tanaman pertama di Malaysia

TANAH bekas lombong yang berpasir di daerah Kampar, bukan sahaja mencabar usaha penanaman pokok, malah memerlukan penyelenggaraan lebih kerap bagi memastikan tanaman terus hidup dan subur.

Situasi itu lebih memburuk tatkala episod cuaca kering mula melanda apabila pokok hiasan yang ditanam menjadi cepat layu dan seterusnya mencacatkan pemandangan landskap di mata awam.

Berhadapan dengan cabaran itu, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) mengambil melangkah setapak ke hadapan menerusi penghasilan ‘Water-Super Absorbent Polymers’ atau W-SAP.

Produk Water-Super Absorbent Polymers (W-SAP) yang dihasilkan kumpulan BioXPERT dari Majlis Daerah Kampar (MDKpr). Foto Syakir Yusof

Ia merupakan inovasi gabungan teknologi ‘super absorbent polymer’ (SAP) dan mikroorganisma efektif (EM) yang berupaya menyerap air sehingga 300 kali ganda daripada berat asalnya, sekali gus mengekalkan kelembapan tanah lebih lama.

Dibangunkan oleh kumpulan Inovasi ‘BioXPERT’ dari MDKpr, hasil inovasi yang pertama seumpamanya di Malaysia itu bukan sahaja membantu pertumbuhan tanaman, malah berpotensi mengurangkan kos penyelenggaraan landskap.

Wakil kumpulan yang juga Penolong Pegawai Pertanian MDKpr, Muhammad Muslihuddin Jaafar berkata, idea menghasilkan W-SAP tercetus daripada masalah yang dihadapi pihaknya dalam menguruskan tanaman landskap.

Menurutnya, keadaan tanah bekas lombong yang banyak terdapat di sekitar daerah Kampar menyebabkan tanaman sukar hidup subur kerana tanah berkenaan tidak mampu mengekalkan kelembapan dalam tempoh lebih lama.

Pemandangan udara di sekitar daerah Kampar. Foto Syakir Yusof
Inovasi W-SAP W-SAP, inovasi bank air tanaman, teknologi W-SAP, Water-Super Absorbent Polymers, inovasi tanaman landskap 1. Bank air tanaman pertama di Malaysia 2. Inovasi Majlis Daerah Kampar 3. Teknologi penyerap air tanaman 4. Penjimatan kos penyelenggaraan landskap 5. Inovasi BioXPERT MDKpr

Pemandangan landskap menghijau yang menghiasi Dataran Muhibbah di Kampar. Foto Syakir Yusof

“Bagi tanaman landskap yang baru ditanam, sebelum ini kita perlu melakukan penyiraman setiap hari dengan lebih kerap, malah ada yang memerlukan siraman dua kali sehari bagi memastikan pokok tidak layu atau mati.

“Daripada permasalahan itu, kita melihat keperluan untuk menghasilkan satu produk yang boleh bertindak sebagai ‘bank air’ kepada tanaman supaya kelembapan dapat dikekalkan lebih lama,” katanya kepada MalaysiaGazette (MG) Perak.

Secara asasnya, SAP berfungsi sebagai medium yang mampu menyerap dan menyimpan air sebelum melepaskannya secara beransur-ansur apabila keadaan tanah mula mengering.

Sementara EM pula membantu untuk menstabilkan keadaan tanah serta menguraikan nutrien sedia ada supaya lebih mudah diserap oleh akar tanaman.

Inovasi W-SAP W-SAP, inovasi bank air tanaman, teknologi W-SAP, Water-Super Absorbent Polymers, inovasi tanaman landskap 1. Bank air tanaman pertama di Malaysia 2. Inovasi Majlis Daerah Kampar 3. Teknologi penyerap air tanaman 4. Penjimatan kos penyelenggaraan landskap 5. Inovasi BioXPERT MDKpr
Kakitangan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) sedang menguruskan penanaman pokok hiasan landskap dengan menggunakan Water-Super Absorbent Polymers (W-SAP). Foto Syakir Yusof

Gabungan kedua-dua komponen itu menjadikan W-SAP bukan sekadar bahan penyerap air, sebaliknya turut berperanan membantu menjadikan persekitaran tanah lebih sesuai untuk pertumbuhan tanaman.

Mengulas lanjut, Muhammad Muslihuddin berkata, penggunaan EM penting kerana tanah yang mengandungi nutrien tidak semestinya membolehkan tanaman menyerapnya secara optimum sekiranya keadaan pH tidak sesuai.

Justeru jelas beliau, komponen mikroorganisma itu dapat membantu menstabilkan keadaan tanah dan menguraikan nutrien sedia ada, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pembajaan yang terlalu kerap.

Jalin kerjasama, penyelidikan dengan UPM

Pembangunan W-SAP bermula pada Februari 2023 menerusi kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya dalam melibatkan proses pengasingan dan pemilihan mikroorganisma yang sesuai untuk digabungkan bersama SAP.

Muhammad Muslihuddin berkata, proses awal melibatkan pengambilan beberapa sampel tanah di sekitar daerah Kampar sebelum kajian dijalankan bagi mengenal pasti jenis EM yang bersesuaian dengan formulasi produk inovasi yang bakal dihasilkan.

Kata beliau, kemudahan makmal di UPM digunakan untuk menjalankan proses pengasingan mikroorganisma atau ‘isolation’ sebelum formulasi W-SAP berjaya dihasilkan dalam tempoh kira-kira enam bulan sebelum melalui tempoh pengujian selama dua tahun.

Berkongsi tentang kaedah penyediaan, Muhammad Muslihuddin berkata, bahan W-SAP akan dicampurkan dengan air sebelum ia dibiarkan kira-kira satu jam sehingga ia membentuk gel.

Inovasi W-SAP W-SAP, inovasi bank air tanaman, teknologi W-SAP, Water-Super Absorbent Polymers, inovasi tanaman landskap 1. Bank air tanaman pertama di Malaysia 2. Inovasi Majlis Daerah Kampar 3. Teknologi penyerap air tanaman 4. Penjimatan kos penyelenggaraan landskap 5. Inovasi BioXPERT MDKpr
Kakitangan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) sedang menunjukkan demonstrasi penyediaan bahan Water-Super Absorbent Polymers (W-SAP). Foto Syakir Yusof

“Gel itu kemudian diletakkan pada bahagian akar anak pokok, dengan cara menggali lubang tanaman terlebih dahulu sebelum pokok diletakkan di atasnya dan tanah dikambus semula.

“Kaedah berkenaan membolehkan gel W-SAP menyimpan bekalan air berhampiran akar tanaman, sekali gus membantu mengekalkan kelembapan tanah dalam tempoh lebih panjang,” jelasnya.

Inovasi kecil, beri impak besar

Muhammad Muslihuddin berkata, penggunaan W-SAP membolehkan kekerapan penyiraman tanaman landskap oleh MDKpr dikurangkan daripada setiap hari kepada sekali dalam tempoh tiga hari atau seminggu sekali, bergantung pada keadaan cuaca.

Malah jelas beliau, keperluan tenaga kerja bagi kerja penyiraman berjaya dikurangkan hampir 50 peratus, manakala tuntutan kerja lebih masa turut menurun sebanyak 60 peratus.

Kakitangan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) sedang menguruskan penanaman pokok hiasan landskap dengan menggunakan Water-Super Absorbent Polymers (W-SAP). Foto Syakir Yusof

“Dari segi perbelanjaan pembelian baja pula, MDKpr merekodkan penurunan sebanyak 35 peratus daripada RM12,000 pada tahun 2023 kepada RM7,800 pada tahun 2025, bersamaan penjimatan RM4,200.

“Selain itu, bajet tahunan MDKpr bagi pembelian pokok untuk landskap juga berjaya dikurangkan sebanyak 20 peratus, manakala aduan awam berkaitan tanaman layu atau mati turut menurun sebanyak 40 peratus,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, perubahan turut dilihat terhadap kadar kematian tanaman apabila sebelum ini antara 20 hingga 30 daripada setiap 100 pokok yang ditanam berisiko mati, berbanding hanya sekitar satu atau dua pokok selepas penggunaan W-SAP.

Penolong Pegawai Pertanian Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Muhammad Muslihuddin Jaafar menunjukkan bungkusan produk Water-Super Absorbent Polymers (W-SAP). Foto Syakir Yusof

“Kami mendapat maklum balas positif daripada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima replikasi inovasi W-SAP termasuk Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Pada masa sama, inovasi yang dihasilkan kumpulan BioXPERT ini berjaya mengangkat nama MDKpr sebagai juara pada Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) Negeri Perak 2025,” katanya lagi.

Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dinobatkan sebagai Johan pada Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) Negeri Perak 2025 dengan hadiah disampaikan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Teh Kok Lim. Foto MDKpr

Sementara itu, Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias berkata, penghasilan W-SAP mencerminkan komitmen pihaknya dalam membudayakan inovasi khususnya bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan landskap.

“Bagi saya, inovasi yang dihasilkan tidak seharusnya sekadar untuk menyertai pertandingan kerana perkara paling penting ialah sejauh mana hasil inovasi itu boleh digunakan dalam urusan kerja dan memberi manfaat secara berterusan,” katanya.

Inovasi W-SAP W-SAP, inovasi bank air tanaman, teknologi W-SAP, Water-Super Absorbent Polymers, inovasi tanaman landskap 1. Bank air tanaman pertama di Malaysia 2. Inovasi Majlis Daerah Kampar 3. Teknologi penyerap air tanaman 4. Penjimatan kos penyelenggaraan landskap 5. Inovasi BioXPERT MDKpr
Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Ahmad Suqairy Alias ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak di Kompleks Pentadbiran MDKpr. Foto Syakir Yusof

Justeru beliau berkata, MDKpr kini merancang untuk mengkomersialkan W-SAP, bermula di peringkat negeri sebelum diperluas ke pasaran nasional, selain mengusahakan proses mendapatkan perlindungan paten dengan kerjasama UPM.

Daripada permasalahan tanah yang sukar mengekalkan kelembapan, W-SAP membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya bermula dengan teknologi yang kompleks.

Sebaliknya ia boleh tercetus daripada keperluan menyelesaikan masalah harian demi mewujudkan pengurusan landskap yang lebih cekap dan lestari, selari dengan Prinsip Ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Tinja gajah Zoo Taiping jadi emas hijau

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI