PETALING JAYA – Taiping 150 Ride 2024 yang akan berlangsung buat pertama kali pada 8 Dis depan bakal menjadi acara penutup kepada sambutan Tahun Melawat Perak 2024 serta ulang tahun ke-150 Bandar Taiping.
Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh berkata acara berbasikal yang menyasarkan 1,500 penyertaan itu akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping yang ikonik, dengan pelepasan peserta dijadualkan pada 6.45 pagi.
“Para peserta akan melalui laluan berbasikal yang unik dan mencabar, melintasi kawasan desa indah di Perak termasuk Sepetang, Simpang Empat, dan Kamunting sambil menikmati keindahan alam dan suasana yang damai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wong berkata penyertaan daripada individu sama ada warga tempatan atau luar negara sangat dialu-alukan, dengan peluang memenangi wang tunai dan cabutan bertuah bernilai lebih RM30,000 ditawarkan kepada peserta.
Taiping 150 Ride menampilkan dua kategori utama iaitu 90km dan 60km, serta kategori kayuhan santai sejauh 20km yang dibuka kepada orang awam.
Beliau berkata acara itu bertujuan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sihat dan memberi pendedahan kepada sukan berbasikal, yang turut menyumbang kepada pembangunan fizikal dan sosial mereka, katanya.
“Hadiah wang tunai dan pingat akan diberikan kepada pemenang lima tempat teratas setiap kategori sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka,” katanya
— BERNAMA