Hujan lebat, air pasang, sistem saliran, punca banjir di Perak – JPS

IPOH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah mengenal pasti tiga faktor utama punca berlakunya banjir luar biasa di beberapa daerah baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku di hilir Sungai Perak merupakan antara faktor berlakunya limpahan air sungai hingga menyebabkan banjir.

Menurut beliau, paras air laut semasa fenomena air pasang besar merekodkan bacaan tinggi melebihi daripada keupayaan struktur yang ada.

“Faktor kedua adalah kita menerima hujan yang sangat lebat di mana mengikut bacaan ia berintensiti tinggi dan kalau lihat dalam sesi peralihan monsun kita akan menerima bacaan hujan lebat.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri pada sidang media Berkaitan Status Terkini Empangan-Empangan di Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 OKTOBER 2024.

“Faktor ketiga adalah ketidakmampuan sistem saliran menampung aliran air dengan kuantiti hujan yang turun,” katanya pada sidang media status terkini empangan di Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pengurusan Aset Hijau TNB (Tenaga Nasional Berhad) Power Generation Sdn Bhd., Mohd Zaini Jaafar.

Tambah beliau, kesemua faktor di atas menyebabkan berlakunya kejadian banjir di Teluk Intan, Kerian dan Perak Tengah minggu lalu.

“Kita boleh lihat puncanya adalah pertembungan hujan lebat dan air pasang besar di mana aliran daripada hujan lebat tidak dapat disalurkan ke laut memandangkan parasnya lebih dari yang sepatutnya,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, JPS Perak telah melaksanakan pelbagai usaha dalam mengatasi masalah banjir di negeri ini termasuklah langkah jangka masa pendek dan sederhana.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada sidang media Berkaitan Status Terkini Empangan-Empangan di Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 OKTOBER 2024.

“Kita telah memulakan kerja-kerja penyelengaraan pembancian sistem sungai, sistem saliran pertanian yang digabungkan dengan fungsi tebatan banjir serta melakukan pembaikan ban pecah bagi mengelak daripada berlakunya banjir lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar turut memaklumkan pihak TNB dijangka menurunkan lagi paras air di semua empangan seliaannnya sepanjang Sungai Perak dalam masa terdekat.

Katanya, proses penurunan air itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) dan Suruhanjaya Antarabangsa berkaitan Empangan Besar (ICOLD). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB minta TNB maklum awal jika lepas air empangan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI