IPOH – Sekiranya tindakan mengibarkan bendera China berhampiran Menara Condong Teluk Intan pada Sambutan Guan Gong sebagaimana dalam video tular dilakukan rakyat negara itu sendiri, ia disifatkan tiada masalah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia juga bukan suatu perkara yang seharusnya dijadikan isu sekiranya ia bukan sebagai suatu kesalahan atau jenayah.
Mengambil contoh situasi di luar negara, beliau berkata, rakyat Malaysia juga adakalanya mengadakan perhimpunan dan mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada di negara asing.
Namun tegas beliau, sekiranya terdapat rakyat tempatan yang turut mengibarkan bendera China itu ia disifatkan sebagai tindakan salah kerana memberi gambaran seperti mengagung-agungkan negara asing.
“Sama ada rakyat negeri China yang datang ke Malaysia, dan mengibarkan bendera negaranya, apakah itu jenayah? Kalau bukan, ia tak ada masalah kerana dia bukan rakyat Malaysia.
“Namun dalam isu ini, saya tidak pasti sama ada yang mengibarkan bendera China itu orang asing atau orang tempatan.
“Jadi, kepada saya kalau (ia dilakukan oleh) pelancong China yang bawa bendera negara China ia perkara biasa kerana sayangkan negaranya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ngopi Siswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Bersama Cikgu Saarani Serta Penyerahan Wakalah Anak Syarikat Yayasan Perak di Miker Avenue, Silveritage, Medan Gopeng, dekat sini, pada Jumaat.
Ketika ditanya tentang tindakan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu berkenaan, Saarani mengulangi pandangan bahawa isu berkenaan seharusnya tidak perlu sekiranya ia bukan suatu jenayah.
“Saya difahamkan Ketua Polis Perak (Datuk Azizi Mat Aris) akan mengadakan sidang media berhubung isu ini.
“Dan jika hendak dipolitikkan, orang akan buat macam-macam. Cuma sebagaimana yang saya sebut, kalau ia bukan jenayah, maka seharusnya tak ada masalah,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi sekitar seminit memapar beberapa individu dilihat memaparkan bendera China di kawasan berhampiran dengan Menara Condong Teluk Intan.
Susulan itu, Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia tampil membuat kenyataan permohonan maaf insiden ketika perarakan di situ pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.
Malah kata beliau, tindakan mengibarkan bendera negara asing itu tidak dirancang serta tiada dalam atur cara sambutan oleh pihak penganjur. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kibar bendera China di Teluk Intan: Polis rakam keterangan penganjur perarakan
Kalau orang Malaysia kibarkan bendera Gaza, itu kesalahan atau tidak? Tiada niat jahat, hanya bingung sahaja. Macam ada double standard