KUALA LUMPUR – Malaysia mengamalkan sistem kerajaan berpersekutuan di mana kuasa kerajaan dibahagikan melalui perlembagaan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Tempatan yang lebih terbatas kuasanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa kerajaan pusat bertanggungjawab mengemudi dan berunding dengan kerajaan negeri, namun tetap menetapkan batas tertentu terhadap autonomi negeri.
“Perlu ada sempadan yang jelas antara tuntutan negeri dan tanggungjawab kerajaan pusat kerana terdapat had tertentu yang perlu dihormati bagi memastikan kestabilan sistem persekutuan,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Anwar menjelaskan bahawa tuntutan autonomi daripada beberapa negeri terhadap hasil negara semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, Pulau Pinang dan Johor pernah menyuarakan hasrat untuk memperoleh sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai, manakala Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak pula menuntut bahagian royalti minyak yang lebih besar.
“Persatuan Undang-undang Sabah telah mengambil langkah menuntut hak negeri terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di Sabah, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Sarawak pula semakin giat berusaha untuk mendapatkan kawalan ke atas sumber minyak dan gas negeri,” ujarnya.
Sebagai langkah proaktif, kerajaan persekutuan telah mengumumkan penggandaan geran khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025 sebagai komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara pusat dan negeri.
Beliau menambah, hal ini bukti komitmen kerajaan untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri. – MalaysiaGazette