IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berhasrat untuk menjadikan ibu negeri Perak itu sebagai bandar seni.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, justeru itu pihaknya menggalakkan pelbagai usaha seni dijalankan di bandar raya itu baik dari aspek aspek lukisan, seni muzik, seni suara, kraf dan sebagainya.
Katanya selaras dengan usaha itu, MBI sedang mempertimbangkan untuk menambah tempoh waktu pengoperasian Lorong Seni di Lorong Panglima dekat sini daripada hanya beroperasi pada Sabtu kepada hari Sabtu dan Ahad, setiap minggu.
“Dahulunya Ipoh terkenal dengan pusat latihan seni dan telah melahirkan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Aris Ariwatan, ND Lala dan penyanyi Rock seperti kumpulan May dan lain-lain.
“Ipoh mempunyai studio yang menjadi tumpuan anak muda yang berminat dengan seni muzik dan suara. Maka tidak mustahil Ipoh boleh menghidupkan semula peluang-peluang bagi para peminat seni untuk mengasah bakat dalam bidang yang mereka minati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Koir Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Piala YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Tahun 2023, di Stadium Indera Mulia, dekat sini pada Khamis.
Pada pertandingan itu, pasukan tuan rumah, MBI dinobatkan sebagai juara sementara pasukan koir Majlis Daerah Tanjung Malim diumumkan sebagai pemenang Naib Juara.
Manakala Pasukan Koir dari Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Manjung masing-masing berada pada tempat ketiga dan keempat.
Pertandingan PBT Piala YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 yang diadakan itu melibatkan 10 pasukan dari keseluruhan 15 PBT di Perak.
Sementara itu, Rumaizi berkata pertandingan berkenaan dilihat sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi aktiviti kesenian di Ipoh selain mampu menjadi medium untuk memperatkan lagi hubungan antara PBT di negeri.
“Pertandingan ini akan diteruskan pada setiap tahun dan kita lihat PBT mana pula yang akan menyahut cabaran sebagai tuan rumah pada tahun hadapan, sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“Ambillah peluang ini untuk perbaiki persefahaman, kejituan perpaduan, dan solidariti sebagai sebuah keluarga koir PBT,” ujarnya lagi. -MG Perak