80 peratus pertukaran libatkan guru duka lara – Fadhlina

IPOH – Hampir 80 peratus pertukaran guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah melibatkan kategori guru duka lara, kata menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, bakinya melibatkan isu kesihatan dan yang terkait dengan keselamatan yang juga menjadi pertimbangan KPM.

Menurut Fadhlina, amat penting untuk semua pihak melihat apa yang telah KPM lakukan bagi mengatasi dan menangani isu guru duka lara dengan empati dan mengambil kira semua situasi guru-gurunya.

“Sebenarnya dalam konteks pasangan jarak jauh ini, Kementerian Pendidikan Malaysia memang memberikan keutamaan.

“Sebab itu dalam konteks permohonan untuk pertukaran ini (KPM), 80 peratus adalah terkait dengan pasangan jarak jauh yang kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Anugerah Hari Guru Kali Ke-55 di Kinta Riverfront Hotel & Suites, di sini, pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan seramai 95 guru menerima augerah melibatkan 31 kategori termasuk anugerah utama Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang dianugerahkan kepada Dr Velerie Wheelervon Primus dari Sabah.

Tambah Fadhlina, pelbagai langkah diambil KPM dalam memastikan isu kebajikan guru jarak jauh terbela seperti mengurangkan tempoh dari segi permohonan untuk bertukar.

“Jika sebelum ini ia (permohonan pertukaran) agak lama, kita berikan kelonggaran itu dalam tempoh dua tahun dan dia sudah boleh memohon.

“Jadi perubahan itu ada dan juga langkah-langkah itu sedang kita ambil dan juga kita lihat bahawa keseluruhan isu kebajikan guru ini mesti diberikan keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM telah menyelesaikan isu kekosongan 50 jawatan guru besar dan pengetua supaya urusan sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, beliau juga telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan dan Ketua Setiausaha KPM untuk meneliti usaha dan komitmen bagi mengatasi isu itu dengan segera. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI