KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah ke atas pemergian Tun Daim Zainuddin, hari ini.
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Daim meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pagi tadi sejak dua minggu lalu.
Solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dikebumikan di Bukit Tunku di sini.
Daim pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Allahyarham memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu. -MalaysiaGazette