Arwah Khairul Hakim ringan tulang, selalu bantu keluarga

KAMPAR – “Arwah adik memang seorang yang baik hati dan suka menolong orang tak kira masa,” ujar Muhamad Nasri Hamidi, 51.

Muhamad Nasri adalah abang kedua kepada Penolong Jurutera Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, salah seorang mangsa lemas ketika melakukan aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang, Gopeng petang semalam.

Dia yang menetap di Rawang, Selangor berkata, adik bongsu daripada enam beradik itu juga menjaga arwah ibu mereka sebelum meninggal dunia dua tahun lalu.

Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan arwah adalah melalui panggilan telefon, dua hari lalu.

“Arwah adik ada maklum dia nak keluar dari Langkawi untuk urusan kerja selama tiga hari dan saya menasihatinya supaya berhati-hati. Kemudian, kami berbual mengenai hal keluarga.

“Sepanjang perbualan tersebut saya tak dapat kesan apa-apa perubahan, arwah pun tiada cerita yang pelik jadi pemergiannya memang tidak dijangka.

“Kali terakhir kami bertemu secara bersemuka ketika kenduri di kampung lebih sebulan lalu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Kampar awal pagi Sabtu.

Katanya, adiknya memang seorang yang cukup ringan tulang sejak dari kecil.

“Kalau tanya kawan-kawan dia pun memang dia cukup ringan tulang dalam membantu adik beradik, kawan dan saudara mara.

“Saya sedih bukan apa. Dalam masa dua tahun lepas arwah mak meninggal, memang adik bantu dari segi jaga mak dan sebagainya.

“Ini kerana dia tinggal berdekatan kampung halaman di Kampung Bukit, Pokok Sena, Kedah sebelum berpindah semula untuk bertugas di Langkawi.

“Mak meninggal 9 November dua tahun lalu, adik meninggal 15 November,” ujarnya.

Dalam masa sama, Muhamad Nasri turut sedih apabila mengenangkan nasib tiga anak arwah yang masih kecil dan cukup manja dengan arwah.

Katanya, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki Allahyarham Muhammad Khairul Hakim masing-masing masih bersekolah rendah dan tadika.

“Adik saya selalu mengurus anak-anaknya makan, minum dan tidur kerana saya difahamkan isterinya yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia kadang-kadang perlu bertugas syif malam,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tiga ditemui lemas ketika aktiviti ‘water rafting’

Tiga kakitangan JKR lemas: Kepala air punca bot ‘water rafting’ terbalik

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI