Pasti dipelawa daftar bawah KPM

KUALA LUMPUR – Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti Malaysia) iaitu prasekolah yang dikendalikan oleh Pas dipelawa untuk mendaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia bagi membolehkan kanak-kanak di Pasti mengikuti silibus atau kurikulum perdana yang disediakan KPM sebagai persediaan sebelum memasuki Tahun Satu sekolah rendah.

Jelas beliau, seruan sama turut dibuka kepada mana-mana pusat prasekolah swasta yang tidak berdaftar dengan KPM untuk bersama-sama berada di bawah payung pendidikan KPM.

“Kita berharap semua tadika dan prasekolah ini dapat mengambil inisiatif untuk berdaftar dengan KPM supaya mereka dapat menggunakan kurikulum perdana yang disediakan KPM yang boleh membantu anak-anak kita apabila mereka masuk ke sekolah rendah atau Tahap Satu kelak,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh (PH-Taiping) menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkenaan bagaimana KPM merancang memastikan guru termasuk di peringkat prasekolah sentiasa mempunyai latihan yang mencukupi dan berterusan.

Tambah Kah Woh, KPM mulai awal tahun ini telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengendalikan isu prasekolah iaitu salah satu daripada enam reformasi bidang pendidikan yang akan dilaksanakan.

Ujar beliau, pasukan khas itu telah menjalankan beberapa sesi libat urus yang menjurus kepada penyelarasan dari segi kurikulum dan kelayakan tenaga pengajar atau guru termasuk di peringkat prasekolah.

“Kita sudah ada sesi libat urus supaya kesemua ini dibawa ke dalam payung besar KPM.

“Kita juga ada prasekolah dan tadika tidak berdaftar…Pasti tidak berdaftar dengan KPM, tidak ikuti kurikulum sedia ada.

“(Jadi) kita harap sekiranya ada sesi libat urus seperti yang dilaksanakan sebelum ini, Pasti dapat mendaftar supaya KPM dapat pastikan kurikulum yang digunakan itu selari dan selaras dengan kurikulum sedia ada dengan KPM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI