IPOH – Sistem pengangkutan rel kereta api antara infrakstrukur yang akan memberi kesan kepada Perak dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini berikutan pembangunan di tiga daerah melibatkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Lembah Kinta dan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Muallim.
Menurutnya, setakat ini, Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik untuk landasan kereta api antaranya trek berkembar yang menghubungkan Padang Besar ke Kuala Lumpur dan Gemas ke Johor Bahru.
“Bagaimanapun, masalah yang dihadapi negara sekarang adalah kekurangan kereta api.
“Dulu kerajaan belanjakan RM20 bilion untuk membina landasan berkembar dengan harapan pengguna tidak perlu bergantung kepada penggunaan jalan tetapi menggunakan kapasiti rel.
“Maka sebenarnya, jumlah lokomotif, rolling stock kereta api yang ada di Malaysia sebenarnya cukup untuk 30 peratus sahaja penggunaan landasan manakala 70 peratus kapasiti tidak digunakan.
“Justeru, perkara itu telah dimasukkan dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) dan Kementerian Pengangkutan sedang merundingkan,” katanya.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan peserta sewaktu program ‘Tanya Terus, Menteri Jawab’ sempena Sesi Libat Urus RMK13 bersama Mahasiswa, Belia, Wakil Majlis Pekerja, Surirumah, Ibu Tunggal, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin.
Susulan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk membeli kereta api secara pajakan (leasing) berjumlah RM5 bilion bagi mengatasi masalah tersebut.
“Kita pastikan pembinaan (rel) di daerah Kerian, Lembah Kinta dan Muallim yang menghubungkan ketiga-tiga dibina secara keseluruhan.
“Harapan kita dalam tempoh lima tahun akan datang kita akan menggunakan kapasiti rel bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak promosi produk Ipoh melalui ETS
. – MG Perak