IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM94.84 juta bagi pembangunan modal insan dan belia pada tahun hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.36 juta dibelanjakan untuk memaksimumkan potensi belia sebagai pemimpin negara.
Katanya, RM400,000 diperuntukkan bagi Program Pembangunan Belia, RM600,000 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia serta RM360,000 untuk Program Jom ‘Healing’ Orang Muda.
“Setiap belia di Perak perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berkembang dan merealisasikan sepenuhnya potensi mereka.
“Atas dasar itu, kerajaan negeri akan terus melabur dalam program pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan kepemimpinan.
“Kerana kami percaya bahawa pelaburan dalam modal insan adalah pelaburan jangka panjang yang paling berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Tambah Saarani, di bawah Fokus Ketiga Pembangunan Modal Insan dan Belia, kerajaan negeri memperuntukkan RM21.2 juta bagi pembangunan sukan.
Menurut beliau, peruntukan itu meliputi RM18.3 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) serta RM1.15 juta bagi menaik taraf gelanggang sedia ada, pembinaan trek lompatan, dan ‘batting cage’ sukan kriket serta softball.
Kata beliau, kerajaan negeri turut membelanjakan RM600,000 bagi program sukan dan sukan orang kurang upaya (OKU) dan RM200,000 untuk pelancongan sukan.
“Di samping itu, melalui belanjawan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi sumbangan bekas atlet sebagai mengenang jasa mereka yang pernah menabur jasa kepada negeri dan negara.
“Peruntukan jumlah sama juga dibelanjakan bagi Program Belang Tarung Tiga Warna ‘Extended Versions 2025’ sebagai persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: Bantu niaga, rumah dan peluang kerja tumpuan belia